Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu Kerajaan menyenaraikan kemudahan awam yang akan dinaik taraf dengan menggunakan penjimatan RM4.4 billion daripada subsidi minyak.

Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Noor berkata di Nibong Tebal, Pulau Pinang, rakyat hendak tahu pengangkutan awam manakah yang diberikan keistimewaan.

Ezam membuat gesan itu berikutan penafian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kewangan tersebut digunakan untuk menyelamatkan syarikat milik kerajaan (GLC) terutamanya Malaysia Airlines System Bhd (MAS).

"Kerajaan kena akur dengan saranan ini kerana selagi tidak menyenaraikan perkhidmatan awam manakah yang akan diutamakan dalam Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK-9) selagi itulah rakyat akan terus mempertikaikan, " tegasnya di majlis walimatul urus bekas Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Pulau Pinang, Zulkifli Ibrahim.

Menurut laporan Harakahdaily.net Ezam mengakui kemudahan awam perlu diperbaik segera kerana negara memerlukan mutu perkhidmatan yang selari dengan kemajuan yang bakal dikecapi.

Katnya, dari dulu hingga sekarang, mutu perkhidmatan awam negara sering dikritik kerana tidak bermutu.

"Pujian harus diberikan kepada TPM kerana mahu gunakan RM4.4 bilion wang subsidi minyak untuk memperbaiki perkhidmatan awam, " ujarnya.

Menyentuh mengenai peranan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) pula, beliau berkata, Gerak akan terus menjadikan isu kenaikan harga minyak sebagai agenda utama.

Gerak juga meminta kajian terperinci dibuat untuk mengetahui kelemahan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hingga sekarang.

Ini kerana, RM500 bilion telah dilenyapkan semata-mata untuk menyelamatkan kroni yang nyata bermasalah.

"Siasatan terperinci kena dibuat dari zaman pemerintahan Tun Mahathir hingga sekarang. Barulah rakyat tahu ke mana kewangan itu disalahgunakan, " jelasnya.