Paling Popular
Terkini

Susulan dua aktivis mendakwa pegawai Cawangan Khas cuba untuk mengancam mereka semasa soal siasat, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata tiada anggota pasukan itu yang dibenarkan untuk menggunakan taktik ancaman dalam keadaan sebegitu.

"Saya tidak akan membenarkan perkara sebegini. Tiada sesiapa pun (anggota polis), khususnya Cawangan Khas yang dibenarkan untuk mengancam sesiapa kerana (pasukan) kami menghormati kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun (secara aman)," kata Hamid pada sidang akhbar selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Siah Kwong Liang dan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMany) Wong Yan Ke mendakwa mereka diancam pegawai Cawangan Khas Bukit Aman.

Mereka berkata kejadian berlaku selepas acara solidariti dengan gerakan aktivis di Hong Kong yang anti undang-undang ekstradisi ke China dan masing-masing dipanggil pada hari yang berlainan.

Siah yang disoal siasat polis pada 28 Jun lalu berkata pegawai tersebut pada mulanya mesra, tetapi ketika seorang atasan yang dikenal dengan nama "Tuan Tan" memasuki bilik, dia mula menggunakan gaya bahasa yang lebih menakutkan.

Beberapa hari kemudian pada 3 Julai lalu, Wong pula berkata telah disoal-siasat oleh 'Tuan Tan', mendakwa pegawai terbabit mengancam boleh melakukan sesuatu untuk menghalangnya daripada menamatkan pengajian.

Bagaimanapun, ketua polis negara menjelaskan kertas siasatan hanya akan dibuka selepas mendapatkan maklumat terperinci mengenai dakwaan kejadian tersebut terlebih dahulu.

Dalam perkembangan lain, Hamid berkata usaha polis untuk memburu ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa itu merupakan perkara yang perlu diuruskan "secara berhati-hati."

"Jadi kami tidak mahu silap langkah dan pihak berkuasa tempat dia (Jho Low) bersembunyi tidak merasakan yang kami seolah memaksa mereka.

"Rundingan masih berterusan. InsyaAllah, pihak berkuasa di negara Low bersembunyi memahami keperluan Malaysia untuk membawanya pulang untuk dihadapkan ke muka pengadilan," katanya lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS