Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Rahim tak jadi letak jawatan pengerusi Amanah Kelantan'

Wan Abd Rahim Abdullah dikatakan menarik balik keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi Amanah Kelantan.

Sumber berkata ia selepas perkara itu dibantah kalangan pemimpin akar umbi parti itu.

"Kita terima maklumat keputusan Wan Abd Rahim untuk letak jawatan ditarik balik selepas ada bantahan dalam kalangan pimpinan Amanah akar umbi.

"Mereka mahu pengerusi dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga berakhirnya penggal ini," kata sumber yang rapat dengan parti itu kepada Malaysiakini.

Amanah akan mengadakan pemilihan parti tahun ini, dimulakan dengan mesyuarat agung tahunan peringkat kawasan bermula 1 Julai hingga 31 Ogos.

Semalam Wan Abd Rahim dilaporkan mahu melepaskan jawatan itu susulan dipilih menjadi presiden Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Difahamkan keputusan itu kerana beliau mahu menumpukan perhatian kepada tugas baru itu dan tidak mahu parti terpalit jika terdapat isu membabitkan kepimpinannya di Kafa kelak.

Beliau menggantikan Bibi Ramjani Ilias Khan yang meletakkan jawatan selepas hampir tiga tahun memegangnya.

Dalam pada itu Setiausaha Amanah Kelantan Rushdan Mustafa berkata tidak timbul isu Wan Abd Rahim meletakkan jawatan setelah menang dalam Kongres Luar Biasa (EGM) Kafa semalam.

"Setakat ini tiada apa-apa, tak ada pun beliau nak letak jawatan. Semuanya berjalan seperti biasa.

"Pemilihannya sebagai presiden Kafa adalah peluang berkhidmat dalam bidang bola sepak, manakala sebagai pengerusi Amanah negeri beliau berkhidmat untuk parti," katanya ketika dihubungi.

Lihat Komen
ADS