Polis masih menyiasat kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri dan tidak menetapkan tempoh tertentu untuk menyelesaikan siasatan, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

“Biar PDRM menjalankan tugasnya sebelum ia (hasil siasatan) diserahkan kepada saya dan Ketua Polis Negara (Abdul Hamid Bador),” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama warga PDRM di Pulapol, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes video seks yang melibatkan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata siasatan kes berkenaan memerlukan tempoh masa yang panjang dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

"Kami tidak mahu ada individu teraniaya akibat siasatan yang tergesa-gesa dan terdapat prosedur tertentu harus diikuti.

"Kami juga amat berhati-hati dalam siasatan ini serta mendapatkan panduan dari pejabat Peguam Negara dalam kes ini," katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, Haziq mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata kementerian akan menambah seorang lagi anggota pasukan petugas khas bagi menyiasat kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat, selain akan melantik pengganti Mokhtar Mohd Noor yang menarik diri secara sukarela daripada pasukan itu.

"Di peringkat kementerian, kami akan menamakan pengganti dan saya fikir kami perlu menambah seorang lagi… Selain pengganti, ada seorang lagi bukan Melayu yang sesuai untuk dibawa dalam pasukan petugas itu," katanya.

Pasukan petugas khas yang ditubuh bagi menyiasat kes kehilangan Koh dan Amri itu sebelum ini melibatkan enam anggota diketuai bekas Hakim Mahkamah Tinggi Abd Rahim Uda.

Koh, 64, dilapor diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya pada 13 Feb 2017, manakala Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 Nov 2016.

April lepas, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengeluarkan laporan yang membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas terlibat terhadap kehilangan Koh serta Amri, dan susulan laporan itu, kabinet pada 23 Mei bersetuju sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi meneliti laporan Suhakam itu.

-Bernama