Laporan: Lelaki terkilan kematian isteri dikait isu pencemaran Pasir Gudang
Suami kepada wanita yang meninggal di Pasir Gudang semalam menyatakan rasa terkilannya apabila ia dikaitkan dengan isu pencemaran udara di sana.
Menurut Kosmo hari ini, A Bakar Abd Rahman, 48, berkata isterinya meninggal dunia akibat kegagalan jantung selepas dibawa ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru selepas berdepan masalah sesak nafas.
"Isteri saya memang ada menghidap penyakit asma dan sehari sebelum meninggal dia mengadu sesak nafas sebelum saya bawa dia ke hospital.
"Doktor cakap tekanan darah dia memang tinggi, paru-paru pula banyak masuk air dan kekurangan oksigen dalam badan sebelum menghembus nafas kira-kira pukul empat pagi," katanya seperti dipetik.
Menurut laporan itu lagi, A Bakar telah membuat laporan polis berkenaan dakwaan tersebut dan meminta semua pihak berhenti menyebarkan dakwaan itu.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad turut menafikan dakwaan itu dan berkata Marini Kasman, 38, menghidap penyakit kronik termasuk darah tinggi sejak sepuluh tahun lalu.
Dzulkefly berkata pemeriksaan hospital mendapati arwah berada dalam keadaan akut (acute) iaitu tekanan darah yang sangat tinggi serta kadar pernafasan yang tinggi (sesak nafas) dan punca kematian dipastikan sebagai Decompensated Heart Failure.
Semakan laporan di hospital juga mendapati tiada rekod yang melaporkan arwah dirawat semasa insiden pencemaran Sungai Kim Kim, atau sejak 20 Jun lalu iaitu ketika laporan berkenaan pelajar sekolah sesak nafas, katanya.

