Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pilihan raya ketua kampung pertama di N Sembilan hari ini

Pilihan raya Ketua Kampung Baru Paroi yang berlangsung hari ini dan buat pertama kalinya diadakan di negeri ini menyaksikan peratusan pergi mengundi 41.39 peratus iaitu 339 daripada 821 pengundi yang sah di kawasan itu.

Pemilihan Ketua Kampung di kawasan itu, yang menggunakan kaedah pilihan raya bermula pukul 9.00 pagi dan berakhir pukul 3.00 petang, menyaksikan Chong Hoong Ming memperoleh 226 undi menewaskan lawannya Farm Li Ping yang memperoleh 113 undi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong berkata sambutan baik diberikan penduduk di kawasan ini, hari ini menjadi penanda aras bagi kerajaan negeri untuk meneruskan pilihan raya di kawasan lain, pada masa akan datang.

"Ini sejarah dicipta kerajaan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan di mana buat pertama kali diadakan pemilihan ketua kampung di negeri ini melalui proses pengundian secara demokrasi.

"Melihat sambutan yang diberikan penduduk amat mengalakkan serta respons diberikan cukup baik berkemungkinan besar kita akan terus mengadakan pilihan raya khususnya di Kampung Baru Paroi ini pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di Seremban, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM10,000 untuk menjalankan proses pilihan raya ini.

"Ada pihak yang mempertikaikan kenapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menjalankan pilihan raya ini. Sebenarnya dari segi akta, SPR cuma menjalankan pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.

"Bagaimanapun bagi pemilihan Ketua kampung ini, kita fokus untuk memberi ruang kepada semua penduduk bagi mengundi. Jadi, kita tidak perlu libatkan SPR sebab SPR tiada kuasa untuk jalankan pilihan raya ini.

"Kalau perlu menunggu kelulusan dari pusat dan sebagainya, saya rasa pilihan raya ini tidak berjaya dijalankan. Paling penting adalah senarai pengundi yang didaftarkan di bawah SPR dan lokalitinya adalah dari kampung ini," katanya.

Sebanyak 821 pengundi dalam kampung berkenaan layak mengundi bagi memilih ketua mereka melalui kaedah seperti pilihan raya dan kedua-dua calon itu tidak bertanding atas tiket parti mereka sebaliknya atas kapasiti individu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS