Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH setuju usia layak undi 18 tahun, daftar automatik, kata Dr M
Diterbitkan:  Jul 8, 2019 10:10 PM
Dikemaskini: 2:10 PM

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini bersetuju anak muda berumur 18 tahun berhak mengundi, kata Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri memberitahu pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden PH itu di Putrajaya hari ini bahawa turut dipersetujui ialah pendaftaran pengundi berumur 18 tahun secara automatik.

Mengulas lanjut perkara itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ditemui selepas mesyuarat itu berkata satu mesyuarat akan diadakan bersama pemimpin politik pada Rabu ini bagi memperhalusi isu tersebut termasuk memperkasakan belia.

Beliau yakin perkara itu dapat diselesaikan dalam sesi parlimen ini.

"Akhirnya kami mencapai persetujuan di mana ketiga-tiga pindaan perlembagaan dibuat mengenai Undi 18, pendaftaran pengundi secara automatik (bagi mereka yang mencapai umur 18), dan menurunkan had umur menjadi calon kepada 18," katanya.

Syed Saddiq berkata beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya supaya tindakan dapat diambil.

Sementara itu, mengenai langkah China meningkatkan tahap keselamatan kapal-kapalnya yang berlayar di Selat Melaka, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang ditemui selepas mesyuarat itu berkata kawasan berkenaan dikawal oleh empat negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Semasa ditanya sama ada kementeriannya menerima sebarang risikan mengenai risiko di selat berkenaan, beliau berkata: "Kawasan itu aman, selamat dan tiada lanun."

- Bernama

Lihat Komen
ADS