YTL: Menara untuk 1BestariNet tidak pernah dikomersialkan
Menara telekomunikasi yang ditubuhkan untuk projek 1BestariNet tidak pernah dikomersialkan, kata YTL Communications Sdn Bhd.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu menjelaskan bahawa ia adalah pengguna tunggal menara berkenaan, yang menjadi sebahagian daripada rangkaian 4Gnya.
Menara itu juga merupakan langkah ke arah matlamat Putrajaya untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar bagi seluruh negara melalui inisiatif jalur lebar nasional.
“Menara-menara itu digunapakai oleh kami sahaja. Kami tidak menyewa mana-mana bahagian menara kepada telco lain. Oleh itu tidak timbul isu pengkomersilan menara telekomunikasi,” kata syarikat itu.
YTL Communications mengulas kenyataan Kementerian Pelajaran bahawa kerajaan berpotensi untuk kehilangan pendapatan penyewaan komersial struktur menara telekomunikasi sebanyak RM32.58 juta bagi separuh kedua tahun ini.
Ini adalah antara senarai alasan yang diberikan dalam menolak tawaran syarikat untuk membekalkan sistem jalur lebar dan sistem e-bilik darjah 1BestariNet untuk separuh kedua tahun 2019 secara percuma.
Pihak kementerian sebaliknya melantik Telekom Malaysia, Maxis dan Celcom untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar, dan mengketepikan perkhidmatan Frog VLE di bawah projek 1BestariNet. dan mengenal pasti Google Classroom (GC) sebagai alternatif, perkhidmatan percuma.
Syarikat itu diberi kontrak pada tahun 2012 untuk menjalankan program 1BestariNet, dengan fasa kedua selesai dilaksanakan pada 30 Jun. Tender untuk Fasa 3, yang sepatutnya dimulakan pada 1 Julai, telah ditangguhkan.






