Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Timbalan menteri luar kelirukan dewan isu Pulau Batu Puteh’

Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya mengelirukan Dewan Rakyat apabila memberikan kenyataan yang berbeza mengenai status tuntutan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), kata Annuar Musa.

Ahli Parlimen Ketereh itu memaklumkan perkara tersebut apabila melihat hansard parlimen yang berkaitan jawapan Marzuki kepada Ahmad Maslan (Pontian-BN).

“Hansard telah secara tepat membuktikan timbalan menteri luar pada 2 Julai memberikan jawapan yang salah di Parlimen walaupun ada pembetulan di luar Parlimen.

“Jadi bagaimana kaedah untuk keluar daripada keadaan itu? Saya mohon fatwa atau nasihat yang dipertua,” katanya pada Dewan Rakyat hari ini.

Marzuki Yahya 

Ahmad menjelaskan bahawa soalan tambahan yang ditujukan kepada Kementerian Luar menunjukkan bahawa pendirian kerajaan akan membuat rayuan terhadap keputusan (ICJ).

“Beliau (Marzuki) menyatakan bahawa kerajaan membuat rayuan terhadap keputusan ICJ dan bererti rayuan itu diteruskan. Namun, kemudian apabila diluar Parlimen, agaknya (beliau) dapat maklumat daripada Wisma Putra bahawa kenyataannya salah.

“Beliau mengatakan bahawa kita (Malaysia) tidak lagi meneruskan rayuan itu ini yang dimaksudkan oleh Ketereh yang bermakna jawapannya mengelirukan dewan,” jelas Ahmad.

Pada 2 Julai, Marzuki memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan kerajaan masih komited dalam isu Pulau Batu Puteh.

Katanya, kerajaan akan memfailkan semakan kehakiman berhubung status Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di mahkamah antarabangsa.

Namun, sehari selepas itu beliau menjelaskan bahawa kenyataannya berkenaan Pulau Batu Puteh adalah mengenai pelaksanaan penghakiman ICJ, dan bukannya menuntut pulau itu.

Lihat Komen
ADS