mk-logo
Berita
'Malaysia tetap tuntut Pulau Batu Puteh di ICJ'
Diterbitkan:  Jul 2, 2019 12:43 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

PARLIMEN l Kerajaan akan meneruskan keputusan untuk mengemukakan semakan kehakiman kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pertikaian Pulau Batu Puteh, kata Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya.

“Berkenaan Pulau Batu Puteh, kita masih lagi komited, tadi saya pun dah sebut bahawa kerajaan akan mengemukakan semakakan penghakiman semula kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ini kepada ICJ.

“(Semua) ini kita akan teruskan,” katanya kepada Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang meminta pengesahan daripada kerajaan sama ada kes-kes berkenaan telah digugurkan.

ICJ pada tahun lalu berkata ia dimaklumkan oleh Malaysia bahawa negara itu akan menarik balik permohonan semakannya, yang pada mulanya dijadual dibicarakan pada 11 Jun 2018.

Pengumuman itu dibuat pada 1 Jun tahun lalu, kurang sebulan selepas Pakatan Harapan menerajui Putrajaya, tetapi ICJ tidak menyebut bila ia menerima notis daripada Malaysia berkenaan.

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali mengambil ‘cuti’ pada 14 Mei tahun lalu dan peguam negara yang baru, Tommy Thomas, hanya dilantik pada 4 Jun tahun yang sama.

Malaysia dan Singapura telah membawa pertikaian mereka kepada ICJ, pada 2008 dan mahkamah antarabangsa itu memutuskan Singapura berhak ke atas Pulau Batu Puteh.

ICJ juga memutuskan kedudukan dua pulau lain yang berhampiran Pulau Batu Puteh, iaitu bahawa Batuan Tengah adalah milik Malaysia tetapi tidak memberi sebarang perintah mengenai Tubir Selatan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Malaysia dan Singapura akan meneruskan rundingan persempadanan maritim di kawasan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Marzuki berkata mesyuarat kelapan Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) dijangka berlangsung pada Oktober ini dengan Malaysia sebagai tuan rumah.

Malaysia dan Singapura telah menubuhkan MSJTC bagi melaksana penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kes kedaulatan ke atas Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2008.

“Sehingga kini, tujuh mesyuarat MSJTC telah diadakan dalam proses perundingan pembatasan sempadan maritim di antara Batu Puteh dan Batuan Tengah.

“Proses perundingan ini telah tertunda sebelum ini berikutan terdapat beberapa percanggahan dalam rundingan antara kedua-dua negara dan kerana Malaysia telah mengemukakan semakan semula penghakiman kes ini kepada ICJ,” katanya ketika menjawab soalan Mansor Othman (PH-Nibong Tebal).

Mansor mahu tahu mengenai status rundingan isu persempadan maritim Malaysia-Singapura.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh manakala Malaysia memiliki Batuan Tengah tetapi kedaulatan Tubir Selatan akan ditentukan kedua-dua negara dalam rundingan berhubung perairan sempadan masing-masing.

Lihat Komen
ADS