Terjemahan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah mengambil 26 tindakan terhadap akhbar pada tahun lalu.

Antara tindakan itu ialah 13 dikenakan amaran, dua dikenakan surat tunjuk sebab dan 11 ditegur oleh kementerian berkenaan.

Angka-angka itu merupakan lampiran bertulis kepada jawapan lisan Timblan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Foo Ah Kiow kepada satu soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Pada tahun 2004, 72 tindakan diambil terhadap akhbar: 56 'nasihat' diberikan, 10 teguran dan enam amaran bertulis.

Pada tahun lalu, tindakan juga 539 tindakan diambil ke atas bahan penerbitan berbahasa Melayu, Inggeris dan China manakala pada tahun 2004 399 tindakan dikenakan.

Angka terbaru bagi Januari tahun ini tidak termasuk tindakan yang dikenakan ke atas Sarawak Tribune, Guang Ming Daily dan Berita Petang yang digantung pada Februari lalu kerana menyiarkan karikatur mempersendakan Nabi Muhammad SAW yang membangkitkan kemarahan umat Islam.

Sarawak Tribune digantung hingga satu tarikh yang tidak ditetapkan, manakala Guang Ming dan Berita Petang digantung selama dua minggu.

Semasa dalam sesi soal jawab, Foo berkata, kementerian berkenaan akan bertindak dengan cara memberi nasihat, menegur dan memberi amaran kepada pencetak yang melanggar peraturan pencetakan.

"Jika kesalahan diulang, kementerian akan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan selepas itu mungkin diikuti dengan tindakan gantung atau membatalkan permit pencetakan" katanya.

Foo mendakwa kementeriannya mempraktikkan dasar terbuka, liberal dan bertanggungjawab dalam menjamin kebebasan media di negara ini.

"Ini adalah sejajar dengan prinsip demokrasi dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan telah memberi ruang secukupnya bagi akhbar untuk beroperasi.

Dasar terbuka

Bagaimanapun katanya kerajaan mempunyai tanggungjawab berat untuk memastikan bahan penerbitan termasuk akhbar tidak menerbitkan bahan-bahan yang menjejaskan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Sementara itu Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih gagal mendapat permit penerbitan walaupun telah menghantar permohonnnya sejak Jun tahun lepas.

Dalam sidang medianya di lobi Parlimen, Presiden parti itu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, partinya tidak menerima sebarang jawapan dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri berhubung status permohonan itu.

"Kami tidak nampak mengapa permohonan permit Suara Keadilan masih belum diluluskan. Kami percaya penangguhan keputusan kerajan ini bertujuan untuk menutup ruang bersuara rakyat," katanya.

PKR katanya mendesak untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada minggu ini bagi membincangkan perkara ini. Berita asal