Empat, termasuk wanita jalani latihan angkasawan di Rusia
Dua doktor, seorang jurutera dan seorang juruterbang merupakan empat calon angkasawan Malaysia yang terpilih menjalani latihan di Rusia tidak lama lagi.
Mereka ialah Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 34, doktor perubatan, Dr Faiz Khaleed, 26, doktor gigi, S.Vanajah, 35, jurutera dan Mohammed Faiz Kamaluddin, 34, juruterbang.
Dua doktor, seorang jurutera dan seorang juruterbang merupakan empat calon angkasawan Malaysia yang terpilih menjalani latihan di Rusia tidak lama lagi.
Mereka ialah Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 34, doktor perubatan, Dr Faiz Khaleed, 26, doktor gigi, S.Vanajah, 35, jurutera dan Mohammed Faiz Kamaluddin, 34, juruterbang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan nama-nama calon berkenaan berkata mereka dipilih berdasarkan kelayakan dari segi mental dan fizikal.
"Mereka yang dipilih sememangnya berkelayakan. Mereka telah menjalani pelbagai ujian yang bersesuaian," katanya di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subangi.
Menurut laporan Bernama, pada persidangan akhbar kemudiannya Najib berkata empat calon berkenaan akan menjalani latihan di Moscow Rusia sama ada pada hujung bulan ini atau awal bulan depan.
Najib berkata program angkasawan tempatan itu lahir hasil daripada keputusan kerajaan membeli 18 jet pejuang jenis Sukhoi SU-30MKN dari Rusia dan sebagai timbal balas pembelian itu, kerajaan Rusia menawarkan tempat untuk seorang angkawasan Malaysia menyertai ekspedisi angkasawan Rusia ke stesen angkasa antarabangsa (ISS).
Daripada empat calon itu, hanya dua akan dipilih menjalani latihan selama 18 bulan di Star City Moscow dan hanya seorang calon akan mengikuti ekspedisi ke ISS.
Mohammed Faiz ketika ditemui berkata beliau gembira kerana terpilih ke Rusia.
"Saya telah banyak membaca mengenai aeroangkasa sebagai persediaan mengikuti program ini," katanya ketika ditanya mengenai persediaan beliau sebelum ke Rusia.
Beliau berkata kesemua calon yang berjaya mempunyai peluang sama rata untuk menjadi angkasawan pertama negara.
Sementara itu calon tunggal wanita, S. Vanajah yang turut gembira dengan pemilihan itu berkata beliau akan membuat latihan fizikal seperti berjoging dan berenang sebelum bertolak ke Rusia.
Ditanya mengenai peluangnya untuk terpilih sebagai angkawasan, Vanajah berkata semua calon mempunyai peluang yang sama untuk terpilih.

