Nadir bumi hiliran dijangka tarik pelaburan RM100 bilion
Malaysia dijangka menarik pelaburan sebanyak RM100 bilion daripada sektor hiliran yang menggunakan produk nadir bumi dalam tempoh dekad akan datang, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof.
Beliau berkata industri hiliran termasuklah pembuatan bateri kenderaan elektrik (EV) dan peranti digital yang lain, seperti telefon pintar.
“Kami telah mendapat pertanyaan dan pernyataan minat daripada penggiat industri untuk melabur dalam sektor hiliran yang menggunakan produk nadir bumi di negara ini.
“Bagaimanapun, mereka memerlukan kejelasan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang lebih baik, walaupun Malaysia telah mempunyai undang-undang yang relevan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada mesyuarat meja bulat ‘Masa Depan Industri Nadir Bumi di Malaysia’ di Kuala Lumpur hari ini.
“Kami mahu mengkaji sektor yang boleh menggunakan nadir bumi untuk menarik pelaburan industri hiliran, tetapi kita perlu mematuhi SOP dan amalan terbaik untuk melindungi alam sekitar, kesihatan dan keselamatan di negara ini, yang tidak boleh kita kompromi,” katanya.
Mohd Redzuan turut menegaskan mana-mana negara mempunyai hak untuk menolak pelabur yang gagal mematuhi undang-undang atau mengikuti amalan terbaik yang digunakan di negara ini.
Terdahulu, dalam ucaptama, menteri itu berkata penting bagi kerajaan untuk memastikan industri nadir bumi dibangunkan sepenuhnya antara lain, menyokong pelan Malaysia untuk mempunyai projek kereta nasional ketiga.
Beliau berkata Malaysia telah berusaha untuk setanding dengan negara-negara seperti Vietnam, yang menuju ke arah era EV sepenuhnya menjelang 2030.
Katanya susulan Amerika Syarikat merupakan penerima manfaat produk akhir nadir bumi, penting bagi Malaysia untuk terus membangunkan industri itu supaya dapat dimanfaatkan keperluan mereka serta meningkatkan eksport dan pertumbuhan ekonomi negara.
Mohd Redzuan berkata Malaysia kini merupakan pengeksport nadir bumi kedua terbesar dunia selepas China.
- Bernama

