KWSP dakwa laporan Buletin Utama TV3 berat sebelah
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kesal terhadap laporan Buletin Utama pada 10 Mac mengenai permohonan seorang pencarum mengeluarkan simpanan di bawah Pengeluaran Kesihatan yang dianggap berat sebelah dan tidak menjelaskan kedudukan sebenar.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kesal terhadap laporan Buletin Utama pada 10 Mac mengenai permohonan seorang pencarum mengeluarkan simpanan di bawah Pengeluaran Kesihatan yang dianggap berat sebelah dan tidak menjelaskan kedudukan sebenar.
Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata laporan itu membabitkan permohonan Nayan Ahmad mengeluarkan simpanannya bagi membiayai kos perubatan anak lelakinya yang menghidap sakit buah pinggang.
Beliau berkata KWSP telah menerima permohonan Nayan pada 18 Januari 2006 yang meminta supaya simpanan dalam akaun 3 dikreditkan terus ke dalam akaun banknnya bagi membiayai kos rawatan dialisis anaknya pada masa akan datang.
Menurut laporan Bernama, bagaimanapun, permohonan itu tidak dapat dipertimbangkan kerana pemohon tidak menyertakan dokumen yang diperlukan seperti resit rawatan dan salinan kad pengenalan anak beliau.
Menyedari keadaan pemohon yang terdesak, KWSP cuba membantu dengan mencadangkan untuk memberi surat pengesahan baki simpanan dalam Akaun 3 beliau bagi membolehkan anaknya menerima rawatan perubatan di hospital.
Beliau berkata, Nayan menolak cadangan itu.
'Tiada maklum balas'
Nik Affendi berkata KWSP kemudian menghantar surat peringatan bertarikh 27 Januari dan 10 Mac kepada Nayan meminta beliau mengemukakan dokumen berkenaan agar permohonannya dapat diproses tetapi tidak mendapat maklum balas.
Beliau berkata, pada 10 Mac, secara mengejut Nayan bersama krew TV3 telah mengunjungi KWSP cawangan Klang dan pada ketika itu beliau masih tidak mengemukakan dokumen yang diperlukan.
Katanya, sekali lagi KWSP mencadangkan untuk membantu Nayan dengan memberikan surat pengesahan kepada hospital dan kali ini cadangan itu dipersetujuinya.
"Laporan Buletin Utama itu memberi gambaran seolah-olah KWSP bertindak mengemukakan surat berkenaan kerana kehadiran krew TV3 serta desakan daripada pemohon.
"Pihak KWSP berpendapat laporan itu tidak tepat, tidak seimbang dan tidak memberi peluang kepada KWSP untuk menjelaskan kedudukan sebenar kes terbabit," kata Nik Affendi.

