Ahli perniagaan berhasrat saman kadi Kulim
Seorang ahli perniagaan, Datuk Noridan Spee Yee mencabar Kadi Daerah Kulim Sheikh Alauddin Abu Bakar membuktikan bahawa beliau telah mempunyai lima isteri.
Seorang ahli perniagaan, Datuk Noridan Spee Yee mencabar Kadi Daerah Kulim Sheikh Alauddin Abu Bakar membuktikan bahawa beliau telah mempunyai lima isteri.
Noridan berkata berhasrat mengambil tindakan undang-undang ke atas kadi itu jika gagal membuktikan beliau beristeri lima.
Berikutan itu, beliau telah melarikan seorang wanita Siti Insiah Abdul Wahab, 24 dari Kampung Terat Batu dekat Kulim selepas gagal menikahi wanita itu selepas permohonannya ditolak Pejabat Agama Islam Kulim kerana didakwa telah mempunyai lima orang isteri.
Noridan yang ditemui pemberita di Bandar Baharu dekat Kulim semalam, mengakui pernah berkahwin dengan tiga wanita pada tahun 1986, 1996 dan 2004, tetapi telah menceraikan mereka.
Menurut laporan Bernama, status perkahwinannya telah menjejaskan reputasinya sebagai seorang kontraktor elektrik di Kulim dan perniagaannya.
Ditanya mengapa beliau tidak dapat menyediakan dokumen sebagaimana yang dikehendaki Pejabat Agama Islam Daerah Kulim, Noridan berkata urusan itu menjadi tanggungjawab pejabat itu untuk mengesannya.
Katanya, beliau telah memaklumkan kepada Pejabat Agama Islam Daerah Kulim mengenai negeri-negeri yang menjadi lokasi perkahwinannya sebelum ini dan perkara itu sudah tentu boleh diselesaikan.
Menurutnya kegagalannya menyediakan dokumen yang diperlukan menyebabkan permohonan pernikahan dengan gadis pilihannya, Siti Insiah ditolak oleh pejabat itu.
Mengenai pernikahannya dengan Siti Insiah, beliau berkata pernikahannya diadakan di negara jiran pada 8 Mac lalu dan surat pernikahanya itu telah disahkan oleh Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah, Kelantan pada 12 Mac lalu.
Beliau turut menunjukkan dokumen yang didakwa sebagai surat pengesahan pernikahan mereka.
"Kami kini bahagia walaupun masih menjadi pelarian," sampuk Siti Insiah yang memaki baju T lengan panjang dan bertudung itu.
Katanya lagi, kedua ibu bapanya di Kampung Terat Batu telah dimaklumkan mengenai pernikahan mereka.
Beliau juga menafikan yang ahli perniagaan itu telah melarikannya tetapi dia yang mengikut lelaki itu untuk berkahwin.

