Sebanyak 6,422 kes jenayah fraud atau penipuan membabitkan wang RM784.9 juta dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PFRM) tahun lalu dan sebahagian besarnya gagal diselesaikan.

Ini membabitkan jenayah pecah amanah (CBT), menipu dan pemalsuan dan menggelapkan wang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Bakri Omar berkata polis kurang berjaya memerangi kes-kes fraud berbanding jenayah lain seperti rogol, pembunuhan dan dadah, dengan kadar penyelesaian kes melebihi 40 peratus.

"Bagi kes-kes fraud seperti CBT, penipuan dan pemalsuan, kadar penyelesaiannya kira-kira 33 peratus atau satu pertiga daripada kes-kes yang dilaporkan. Ada pelbagai sebab penyumbang," katanya dalam ucaptama pada perasmian seminar mengenai "Fraud insurans - pengesanan, siasatan dan pencegahan" di Kuala Lumpur.

Bakri berkata walaupun jumlah kes telah meningkat, bilangan pegawai di Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (CCID) masih kekal dengan 80 orang, yang menyebabkan berlaku tunggakan kes.

"Ekoran itu, sejak Januari lepas, CCID telah menambah empat kali ganda (320 pegawai) anggotanya berbanding semasa merupakan sebuah cawangan Jabatan Siasatan Jenayah," katanya.

Bakri bagaimanapun berkata terdapat penurunan dalam jumlah kerugian kes-kes fraud tahun lepas berbanding 2004, dengan penjenayah "melarikan" RM813.7 juta dalam 6,404 kes.

Menurut laporan Bernama, Bakri berkata kes-kes jenayah perdagangan kini sangat kompleks dan berbeza apabila penjenayah terus menjadi lebih canggih setiap hari yang memerlukan pegawai berpengetahuan dan berpengalaman mengendalikan kes-kes seumpama itu.

"Pegawai penyiasat jenayah berpengalaman dengan kelayakan dalam bidang perundangan, perakaunan, multimedia, perakaunan forensik, perbankan, diambil untuk menjalankan tanggungjawab mencabar ini," katanya.

Bakri berkata polis juga terpaksa menubuhkan unit forensiknya sendiri yang telah berjaya menyelesaikan banyak kes semasa membantu siasatan kes-kes jenayah perdagangan.

Bertukar idea

Beliau berkata pertemuan berjadual antara para pegawai CCID dengan pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia dan badan-baan profesional lain, telah memberi manfaat kepada pihak-pihak yang terbabit dalam menangani jenayah.

"Pada pertemuan-pertemuan itu kami bertukar-tukar idea dan maklumat, masalah kecil diatasi dan kerenah birokrasi dikurangkan, semua ini bertujuan menyediakan perkhidmatan yang baik kepada orang ramai," katanya.

Mengenai fraud insurans, Bakri mencadangkan ia dikenal pasti sebagai jenayah khusus bagi mendefinisikan jenayahnya serta hukuman yang boleh dikenakan.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memudahkan kes-kes didakwa memandangkan sudah tiba masanya peruntukan penting digubal dalam Kanun Keseksaan bagi menangani masalah serius fraund insurans.

Menurutnya statut immuniti juga wajar ditimbang bagi melindungi niat baik pertukaran maklumat antara syarikat insurans atau pegawai penguatkuasa atau organisasi, supaya kebal daripada disaman pihak lain.

Bakri berkata fraud insurans akan meningkatkan kos operasi dalam industri itu yang kelak akan diturunkan kepada orang ramai yang akhirnya perlu membayar premium yang lebih tinggi.

"Jadi, ia bukan perjuangan polis semata-mata, mesti ada kerjasama dan gandingan kukuh antara polis, industri insurans, pelaras dan orang ramai bagi menangani fraud insurans dengan berkesan," katanya.

Seminar itu dianjurkan bersama oleh Institut Insurans Malaysia, Persatuan Tuntutan Kebangsaan, Persatuan Pelaras Kerugian Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Seminar itu bermatlamat untuk mendedahkan peserta tempatan dan antarabangsa mengenai senario fraud serantau semasa dan strategi dan teknik terkini dalam mencegah dan mengesan fraud, siasatan dalaman polis, siasatan forensik dan cara mengumpul keterangan mengenai fraud.