BERITA Malaysiakini

Khutbah: Ada wanita Islam tanggal tudung kerana 'trend'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Umat Islam diingatkan agar beristiqamah dalam menutup aurat bagi menjaga menjaga kehormatan diri terutamanya wanita, menurut teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Kata mimbar, biarpun kini sudah ramai wanita Islam melakukan penghijrahan dan berubah menutup aurat secara sempurna dan lengkap bertudung, ada juga segelintir yang menjadikan isu menutup aurat sebagai suatu mainan.

“Terdapat dalam kalangan mereka yang pada mulanya bertudung tetapi kemudian menanggalkannya kerana hendak mengikut trend semasa. Situasi ini seolah-olah mempermainkan perintah Allah SWT.

“Inilah yang terjadi apabila nafsu menjadi ikutan dalam kehidupan,” kata teks berkenaan yang akan dibacakan di masjid-masjid seluruh Selangor.

Batas aurat wanita seperti diterangkan oleh Imam as-Syafie dalam kitabnya al-Umm meliputi seluruh tubuh melainkan muka dan kedua tapak tangan.

Di samping itu, khatib turut memberi peringatan bahawa golongan lelaki juga tidak terkecuali daripada kewajiban menutup aurat.

"Oleh itu, marilah sama-sama kita berazam dan beristiqamah melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya pada bila-bila masa dan di mana sahaja kita berada," pesan teks berkenaan.

Dalam khutbah itu juga, selain menutup aurat, dua lagi perkara yang dituntut supaya dilaksanakan oleh umat Islam secara istiqamah ialah mendirikan solat pada waktu yang telah ditetapkan dan menuntut ilmu.

Kata khatib, menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap umat Islam dan perlulah dilakukan secara berguru dengan guru-guru yang diperakui dan diiktiraf keilmuannya, bukan semata-mata mencari ilmu tanpa guru.