BERITA Malaysiakini

MP: Gagal buat bayaran balik GST memang satu 'rompakan'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kegagalan pentadbiran BN membuat bayaran balik GST untuk tempoh yang begitu lama memang merupakan satu rompakan, kata Anggota Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Beliau berkata ini kerana pentadbiran BN sebenarnya mengambil wang pembayar cukai secara paksa, tanpa mengira wang tersebut digunakan untuk apa.

"Akta GST 2014 mewajibkan kerajaan untuk membayar balik cukai input GST kepada pembayar cukai dalam masa 14 hari selepas borang berkaitan difailkan.

"Bagaimanapun pentadbiran lalu tidak melakukannya tetapi memilih untuk menangguhkan bayaran, ada sehingga dua tahun.

"Akibatnya, lebih 120,000 syarikat dan individu dalam sektor perniagaan terkesan. Mereka berdepan masalah aliran tunai serius," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, sumber memberitahu Malaysiakini yang siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati pentadbiran BN tidak "merompak" dana untuk bayaran balik GST tetapi menggunakannya untuk perbelanjaan kerajaan.

Ia juga mendedahkan akaun bagi bayaran balik GST tidak didanai dengan sewajarnya.

Siasatan PAC itu dimulakan September lalu selepas Lim memberitahu Dewan Rakyat bahawa RM19.4 bilion dana bayaran balik GST diseleweng pentadbiran BN.

Susulan itu, Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata akan membawa usul untuk merujuk Lim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika laporan PAC, yang akan dibentang minggu depan, mengesahkan bayaran balik GST tidak dirompak.

Beliau berkata ini kerana Lim telah mengelirukan Dewan Rakyat apabila membuat dakwaan itu.

Khoo bagaimanapun mempersoalkan hasrat Khairy itu memandangkan kesungguhan sama tidak ditunjukkan ketika berada dalam kerajaan.

"Alangkah baiknya jika pembangkang menunjukkan semangat begini untuk mempersoal Najib mengenai kelewatan bayaran balik ketika berada dalam kerajaan," katanya lagi.