Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RM19.4b bayaran balik GST diguna untuk tujuan lain - Sumber

Siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati pentadbiran BN sebelum ini tidak "merompak" dana untuk bayaran balik GST tetapi menggunakannya untuk perbelanjaan kerajaan, kata sumber.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa laporan PAC yang akan dibentangkan di parlimen minggu depan menggunakan istilah "tiada kehilangan" tetapi dana itu telah digunakan bagi tujuan perbelanjaan.

Ia juga mendedahkan akaun bagi bayaran balik GST tidak didanai dengan sewajarnya.

Hal ini, kata sumber mungkin melanggar Seksyen 54 Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014, meski pun undang-undang ini telah dimansuhkan ia boleh dipakai secara retrospektif bagi kesalahan pada masa lalu.

PAC juga dipercayai telah mendapat makluman daripada peguam negara bahawa perkara ini terbuka untuk siasatan polis.

Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu parlimen sebanyak RM19.4 bilion telah dirompak.

Sumber-sumber ini dihubungi Malaysiakini susulan laporan oleh The Malaysian Insight yang mencadangkan pentadbiran BN telah "mengeluarkan" dana daripada akaun bagi bayaran balik GST.

Menurut sumber, tafsiran ini kurang tepat.

Dalam suatu kenyataan hari ini, Pengerusi PAC Noraini Ahmad turut mengkritik artikel berkenaan yang disifatkannya sebagai mengelirukan dan tidak tepat.

Noraini juga mendakwa media tidak menghormati laporan PAC kerana ia adalah sulit sehinggalah diterbitkan. Beliau juga menggesa pemberita untuk menunggu laporan itu dikeluarkan sebelum menulis berita tentangnya.

Siasatan dimulakan September lalu selepas Lim memberitahu Dewan Rakyat bahawa RM19.4 bilion dana bayaran balik GST diseleweng pentadbiran BN.

Ia menyebabkan tunggakan yang perlu dibayar kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sumber yang rapat dengan Kementerian Kewangan memberitahu Malaysiakini bahawa Lim memaklumkan kepada parlimen bahawa wang itu dialihkan bagi tujuan kegunaan lain kerana kekurangan dana.

"Itu (maksudnya) 'rompak' kerana kerajaan tidak ada hak terhadap tunai tersebut yang berdasarkan undang-undang mesti diletakkan di dalam akaun bayaran balik (GST)," kata sumber.

Menteri kewangan terdahulu Najib Razak menafikan dakwaan itu, dan berkata wang itu diletakkan dalam akaun disatukan kerajaan dan kepada tabung amanah bertujuan membuat pembayaran semula secara berkala.

Terdahulu PAC dijangka menyelesaikan siasatannya pada akhir 2018 dan membentangkan laporan ketika Parlimen bersidang pada Mac.

Namun pada Mac lalu, jawatankuasa itu masih lagi dalam proses mengesahkan dokumen dengan Jabatan Audit Negara, dan memanggil bekas Ketua Pengarah Jabatan Kastam T Subromaniam.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS