Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman Said tidak dibenarkan memasuki perkampungan Sukan Komanwel di Melborne hari ini atas sebab-sebab keselamatan.

Azalina yang tiba kira-kira jam 9 pagi (kira-kira 7 pagi waktu Malaysia) hanya dibenarkan memasuki Zon Antarabangsa yang terletak di luar kawasan perkampungan tersebut.

Beliau diberitahu, memandangkan hari ini berlangsung majlis perasmian sukan tersebut, maka tidak seorangpun, kecuali atlit dan pegawai yang tinggal di perkampungan tersebut, yang dibenarkan keluar masuk.

Menurut laporan Bernama, Menteri Belia dan Sukan itu mahu melawat atlit dan para pegawai Malaysia di tempat kediaman mereka dan meninjau kemudahan yang disediakan di situ.

Manakala para wartawan yang menunggu kedatangan Azalina di luar perkampungan sukan itu pula, tidak dibenarkan memasuki Zon Antarabangsa. Sebelum ini, wartawan menggunakan pas harian untuk memasuki zon tersebut.

Ketika diminta mengulas perkara tersebut, Azalina menyifatkan peraturan tersebut sebagai ganjil tetapi berkata "kita perlu mematuhi peraturan mereka".

Misi tercapai

Walaupun kelihatan agak terganggu dengan apa yang berlaku, tetapi Azalina berkata misinya sudah tercapai untuk menyampaikan mesej kepada atlit, jurulatih, pegawai dan para pengurus pasukan Malaysia.

Azalina berkata, beliau telah menemui semua pengurus pasukan supaya memantau dan melaporkan kemajuan dan prestasi para atlit negara di bawah jagaan mereka.

"Saya diberitahu mereka diberi makanan yang mencukupi secara percuma di Perkampungan Sukan, tetapi saya tidak mahu para atlit makan berlebihan supaya sentiasa dalam keadaan cergas. Mereka mesti mengelak makan 'sambal' sekurang-kurang sepanjang sukan ini berlangsung.

Beliau mengingatkan bahawa ini bukan tempat peranginan dan para atlit berada di sana untuk mewakili negara di sukan yang berprestij.

Azalina juga gembira kerana pelumba basikal Josiah Ng telah sembuh dari jangkitan tekak dan menyambung semula latihan hari ini.

"Saya diberitahu Josiah menyambung semula latihan hari ini dan saya harap beliau akan bersedia apabila pertandingan bermula Jumaat ini," tambahnya.