BERITA Malaysiakini

Akta Hasutan: Tiada pendakwaan baru lepas PRU14, kata AG

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Di sebalik janji dalam manifesto PRU ke-14 Pakatan Harapan (PH), Akta Hasutan 1948 masih belum dimansuhkan.

Namun sejak 9 Mei 2018, tiada seorang pun yang didakwa mengikut akta itu, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

"Setelah menjadi peguam negara pada Jun 2018, saya memutuskan, mengambil kira undang-undang alternatif dalam naskah-naskah undang-undang (termasuk peruntukan dalam Kanun Keseksaan), untuk menggunakan Akta Hasutan sebagai jalan terakhir.

"Ini kerana Akta Hasutan adalah undang-undang yang sah dan tidak boleh diketepikan langsung. Perkara tersebut hanya boleh berlaku jika Akta Hasutan dibatalkan oleh Parlimen," katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata dasar Jabatan Peguam Negara ialah untuk mengkaji semula setiap kes yang masih di mahkamah berdasarkan fakta kes tersebut.

"Kami akan bertindak berdasarkan representasi yang diterima daripada tertuduh atau peguam belanya. Ini untuk menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban," katanya lagi.

Katanya, kegagalan berbuat demikian telah menyebabkan kes pendakwah Wan Ji Wan Hussain tidak disedarinya.

Hukuman penjara sembilan bulan terhadap Wan Ji sebelum ini, selepas disabit bersalah mengikut Akta Hasutan, dinaikkan kepada setahun selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan.

Mengulas lanjut, Thomas berkata selagi ia tidak dimansuhkan, penggunaan Akta Hasutan tidak dapat ditolak secara terus, terutama dengan meningkatnya ucapan berunsur kebencian di atas talian.

"Peningkatan ucapan berunsur kebencian terutama atas talian terkait kaum, agama dan raja-raja dalam masyarakat kita yang bersifat majmuk bermakna kebebasan bersuara dan ekspresi telah disalahgunakan.

"Cabaran bagi jabatan ini adalah untuk mengimbangkan kebebasan bersuara yang semakin luas selepas PRU ke-14 dan tersebarnya ucapan berunsur kebencian yang menyakiti perasaan rakyat.

"Jika pendakwaan dijalankan, jabatan ini akan bertindak berpandukan Kanun Keseksaan. Namun dalam keadaan di mana tiada alternatif di bawah undang-undang, untuk kes yang bersesuaian jabatan ini tidak dapat menolak kemungkinan menggunakan Akta Hasutan, sehingga ia dimansuhkan," katanya.