Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suku Bateq dari kampung lain masih takut ke Kuala Koh

Kira-kira 300 masyarakat Orang Asli suku Bateq yang menetap di Felda Aring 5 dan Kampung Pasir Linggi, masih takut untuk mengunjungi Kampung Kuala Koh susulan wabak demam campak yang melanda kawasan tersebut walaupun larangan zon merah telah ditarik balik.

Guru Agama Islam Orang Asli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Kampung Aring 5, Mohd Fadzli Mamok berkata ini kerana mereka masih diselubungi kebimbangan berhubung penularan penyakit berkenaan.

"Mereka tidak mahu tragedi yang berlaku di Kampung Kuala Koh berulang dan menular pula ke kampung-kampung yang terletak berdekatan dengan Kampung Kuala Koh," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kuala Koh, di Gua Musang hari ini.

Sebelum ini, wabak demam campak yang menular dalam kalangan masyarakat tersebut mengorbankan 15 orang selain 122 dimasukkan ke hospital akibat jangkitan penyakit tersebut.

Sementara itu, Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata hampir semua orang dewasa dan kanak-kanak masyarakat itu di kampung berkenaan telah diberi suntikan vaksin bagi mengawal jangkitan penyakit seperti demam campak.

"Kebiasaannya kita kerap berkunjung ke Kampung Kuala Koh kerana tinggal berjiran namun selepas ada yang meninggal dunia, ramai yang memilih untuk lebih berhati-hati," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS