Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayani Air terima 500 permohonan pemulangan bayaran tiket

Sebanyak 500 emel diterima syarikat penerbangan Rayani Air Sdn Bhd daripada pelanggan yang menuntut pemulangan semula bayaran tiket penerbangan.

Pemiliknya Ravi Alagendrran berkata pihaknya menjangkakan lebih 1,000 emel akan diterima lagi selepas ini selepas hebahan tuntutan semula wang bagi pembelian tiket penerbangan dimuat naik di laman rasmi Facebook ‘Rayani Air’ dan ‘Ravi Alagendrran’ sejak Selasa (9 Julai) lepas.

"Apa yang syarikat mahukan, tolonglah beri tuntutan yang betul berserta bukti dan sekiranya berlaku penipuan, pihak kami mempunyai sistem untuk mengenal pasti usaha itu kerana Rayani Air masih menyimpan data pembelian,” katanya ketika ditemui Bernama di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Beliau berkata Rayani Air akan membuat pembayaran balik kepada pelanggan yang telah membeli tiket secara tunai secara berperingkat bermula Ogos nanti.

"Mana-mana rekod yang ada dalam simpanan yang kami simpan, ada yang sudah dibayar, malah untuk tuntutan kali ini, kami akan memastikan tidak akan berlaku pertindihan.

"Sebelum ini, Rayani Air ada memberi pulangan tuntutan kepada pelanggan daripada kalangan orang susah dan mereka yang menghadapi masalah kecemasan yang menghantar rayuan peribadi menerusi aplikasi WhatsApp serta Facebook Messenger," katanya.

Beliau berkata masih belum terlambat bagi pelanggan untuk menghantar maklumat kepada pihak syarikatnya melalui emel [email protected] bagi membuat tuntutan semula.

Katanya antara maklumat yang diperlukan ialah nama penumpang, sektor penerbangan, tarikh dan masa penerbangan, nombor penerbangan, harga tiket, salinan tiket (sebagai bukti) dan nombor akaun bank serta nama pemegang akaun untuk tujuan pembayaran secara dalam talian.

"Pihak pengurusan akan membuat semakan ke atas maklumat yang anda berikan dengan rekod jualan tunai syarikat sebelum bayaran balik dilakukan.

"Apapun, pihak kami menghargai sokongan diberikan kepada Rayani Air selama ini dan memohon kemaafan di atas kekhilafan dan kekurangan selama kami cuba memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan," katanya.

Rayani Air merupakan syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang beroperasi berlandaskan patuh syariah bermula pada Disember 2015.

Syarikat penerbangan itu membuat kelainan apabila menetapkan krew kabin beragama Islam diwajibkan menutup aurat, selain mengenakan polisi 'tiada alkohol' dan menyediakan makanan halal serta membaca doa sebelum berlepas.

Syarikat tersebut juga memiliki 355 kakitangan melibatkan lapan juruterbang dan 50 anak kapal menggunakan dua pesawat Boeing 737-400.

Rayani Air menyediakan perkhidmatan penerbangan secara domestik di lima lokasi membabitkan Kuala Lumpur, Langkawi, Kota Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu.

Hanya sempat beroperasi hampir setahun sahaja, perancangan meluaskan rangkaian sehingga ke China dan membuka laluan khusus penerbangaan Umrah dan Haji di Mekah tidak kesampaian.

Keadaan itu akhirnya mendapat kecaman hebat apabila penerbangan terpaksa dibatalkan atas masalah teknikal yang menyebabkan penumpang terkandas.

Pada 9 April 2016, pengumuman dibuat bagi menggantung operasi Rayani Air berkuat kuasa serta-merta.

Pada Jun tahun yang sama, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air kerana didapati melanggar syarat-syarat ASL dan kurang keupayaan daripada segi kewangan serta pengurusan untuk meneruskan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial.

Bangkit atas rasa tanggungjawab, setelah tiga tahun menyepi, April lepas, Rayani Air kembali dengan menyelesaikan bayaran tunggakan gaji terhadap pekerjanya dan kini akan melunaskan tuntutan untuk pelanggan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS