Ku Li: Serah pada Agong tentukan pengganti Mahathir
Isu pengganti Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bukanlah satu perkara yang besar dan sukar untuk diselesaikan, kata pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.
Sebaliknya, anggota Parlimen Gua Musang itu berkata perkara tersebut sengaja ditimbulkan seolah-olah ia tidak boleh diselesaikan.
Kata Tengku Razaleigh, isu tersebut sebenarnya dapat diselesaikan dengan mudah dengan menyerahkan kepada kepada Yang Dipertuan Agong untuk menentukan calon yang layak menjadi perdana menteri mengikut budi bicara baginda seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Apabila perdana menteri meletakkan jawatan, dia boleh cadang penggantinya tetapi Agong boleh menggunakan budi bicaranya untuk melantik sesiapa di kalangan anggota parlimen yang difikirkan mempunyai sokongan majoriti dalam parlimen.
"Apabila selesai masalah ini, rakyat boleh diberikan tumpuan oleh kerajaan bagi menyelesaikan pelbagai masalah," katanya dipetik Sinar Harian.
Tengku Razaliegh dilapor berkata demikian ketika menyampaikan syarahan dalam program Bicara Bersama Tokoh bertajuk Masa Depan Politik Melayu anjuran Gagasan Melayu Perak di Dewan Safari Resort Sungai Perak, di Perak, malam tadi.
Isu peralihan jawatan perdana menteri daripada Mahathir kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim terus mencetuskan polemik selepas beberapa kenyataan sebelum ini yang mahukan ia dipercepatkan.
Bagaimanapun terdapat beberapa pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) yang mahukan lebih masa diberikan kepada Mahathir menjadi perdana menteri untuk menyelesaikan pelbagai isu dalam negara.
Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh yang juga pengerusi jemaah penasihat Umno merasakan Mahathir yang kini berusia 94 tahun perlu diberikan peluang untuk mentadbir negara dalam tempoh yang telah dipersetujui.
Kata Tengku Razaliegh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li, desakan pihak tertentu agar mempercepatkan proses peralihan kuasa kepada Anwar hanya tindakan sia-sia kerana kuasa melantik perdana menteri ditentukan oleh Agong.
"Nampaknya orang dah jolok Anwar nak ganti (Mahathir) tapi soalnya bukan orang yang jolok menentukannya, itu terpulang kepada Agong apabila Mahathir berhenti (melepaskan jawatan perdana menteri). Proses ini mudah sebenarnya.
"Mahathir nampaknya tak suka dipaksa-paksa begitu, dia kata ada perjanjian (serah jawatan perdana menteri) tapi dia nak masa," katanya.

