Seorang penyokong kerajaan hari ini mencadangkan ditubuhkan Jabatan Kemajuan Agama Malaysia untuk mengukuhkan kefahaman antara kepercayaan yang berbeza di negara ini.

Menurut Loh Seng Kok (BN-Kelana Jaya), kefahaman antara agama di negara ini masih longgar ketika ini.

Menurutnya jabatan itu juga akan berperanan mengiktiraf agama lain dan mempertahankan prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Jika Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (Jakim) masih diperlukan maka Jabatan Pembangunan Agama itu perlu ditubuhkan seiring," katanya di Dewan Rakyat.

Katanya, fungsi dan tanggungjawab jabatan baru itu boleh sama dengan Jakim tetapi ia khusus untuk agama-agama lain di negara ini.

Loh membuat cadangan itu ketika membantah garispanduan kebangsaan mengenai doa dan khutbah yang sedang dirangka oleh Jakim.

garispanduan baru

Menurut beliau, garispanduan baru itu akan dikuatkuasakan ke atas "semua orang dan semua agensi kerajaan dan swasta" semasa majlis-masjlis rasmi dan separuh rasmi.

"Garispanduan itu dirangka tanpa berunding atau dirujuk kepada wakil-wakil dari agama lain.

"Ini bertentangan dengan prinsip hormat-menghormati, persefahaman dan ketelusan yang diwar-warkan oleh kerajaan dan para pemimpinnya," tegas Loh.

Oleh itu, katanya, satu pelan tindakan yang pragmatik diperlukan untuk mengukuhkan kefahaman dan keharmornian antara agama dan etnik yang berbeza di negara ini.

Wakil rakyat MCA itu juga meminta kerajaan menyediakan peruntukan dan kemudahan asas kepada tempat-tempat ibadat agama lain, selain daripada Islam.

Katanya, antara masalah yang dihadapi oleh rumah ibadat agama lain termasuklah tindakan Pendaftar Pertubuhan membatalkan pendaftaran mereka tanpa alasan-alasan yang kukuh.