Harga petrol kepada 15,000 nelayan persisir pantai negara dan harga diesel untuk pengusaha bot penumpang di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta Pahang, kini dikurangkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, harga petrol untuk nelayan berkenaan ialah RM1 seliter berbanding harga biasa RM1.92 seliter. Manakala harga diesel untuk pengusaha bot penumpang di pedalaman Sabah, Sarawak dan Pahang kini RM1.20 seliter berbanding RM1.43 sebelumnya.

"Kabinet membuat keputusan ini sebagai langkah untuk mengurangkan beban rakyat miskin dan penduduk kawasan pedalaman," katanya kepada pemberita di Kementerian Pertahanan hari ini.

Menurut Bernama, Najib, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Minyak, berkata pemberian subsidi petrol kepada nelayan persisir pantai akan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan dijangka dilaksanakan Jun ini.

Manakala harga diesel untuk pengusaha bot penumpang di pedalaman Sabah dan Sarawak akan berkuatkuasa serta-merta, manakala di Pahang pula, ia akan ditentukan oleh Jabatan Perdagangan Dalam Negeri.

Nelayan berdaftar

Harga petrol naik 30 sen mulai 1 Mac ekoran kenaikan harga minyak di pasaran dunia, dan menjimatkan RM 4.4 bilion daripada segi subsidi, yang sebaliknya akan digunakan antaranya untuk menambah baik sektor pengangkutan awam di negara ini.

Najib berkata, hanya nelayan pesisir pantai yang berdaftar dengan LKIM dan mempunyai lesen nelayan layak menerima pengurangan harga petrol berkenaan kerana mereka merupakan menggunakan enjin petrol.

"Bagi mereka yang tidak berdaftar mereka tidak layak menerima pengurangan harga berkenaan," katanya.

Untuk nelayan yang menggunakan enjin diesel, kerajaan telahpun memberikan pengurangan bagi bahan api itu mulai 28 Februari lalu.