Kerajaan telah meluluskan penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam, yang akan disediakan dengan peruntukan RM4.4 bilion, iaitu anggaran jumlah penjimatan daripada

pengurangan subsidi minyak.

Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri petang ini berkata dana itu akan digunakan bagi membiayai projek-projek yang akan meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam

seperti:

Menambah baik sistem integrasi pengangkutan awam antara pengangkutan bas, LRT, monorel dan komuter;

Meningkatkan mutu perkhidmatan bas terutamanya dari segi liputan dan kekerapan perkhidmatan; dan

Memperluaskan jaringan sistem monorel atau LRT.

Penjimatan subsidi

Berikutan kenaikan harga petrol, diesel dan LPG pada 28 Februari 2006 sebanyak 30 sen, kerajaan telah memaklumkan bahawa penjimatan subsidi daripada kenaikan tersebut akan digunakan bagi projek pembangunan khususnya untuk menambah baik sistem pengangkutan awam negara.

"Sejajar dengan itu, adalah dimaklumkan bahawa pada hari ini, jemaah menteri telah meluluskan penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam, yang akan disediakan dengan peruntukan sebanyak RM4.4 bilion iaitu anggaran jumlah penjimatan daripada pengurangan subsidi minyak," kata kenyataan itu.

Menurut laporan Bernama, kerajaan, menurut kenyataan tersebut, yakin usaha menambah baik sistem pengangkutan awam akan meningkatkan mutu perkhidmatan yang diberi dan akan memberi lebih keselesaan kepada pengguna.

"Ini secara tidak langsung akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas," kata kenyataan itu.