Paling Popular
Terkini

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meminta masa tiga bulan untuk merangka langkah penyelesaian terhadap masalah nelayan.

Setelah bertemu dengan wakil nelayan yang berdemonstrasi di hadapan parlimen pagi tadi, menterinya Salahuddin Ayub memberi kerajaan akan meneliti dan membuat pembaharuan terhadap polisi perikanan.

“Saya beritahu mereka saya perlukan tiga bulan untuk lihat semula.

“Penyelesaian tak boleh dibuat sekerat-sekerat, haramkan pukat ini, batalkan lesen ini, tak boleh. Harus lihat keseluruhan polisi sedia ada,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Salahuddin ketika itu baru sudah mengadakan pertemuan setengah jam dengan sepuluh wakil nelayan, bersama-sama timbalannya, Sim Tze Tzin, dan Ketua Pengarah Perikanan Munir Mohd Nawi.

Demo nelayan Pantai Timur di depan pintu parlimen

Pagi tadi, lebih 300 nelayan Pantai Timur berdemonstrasi di hadapan Parlimen hari ini bagi membantah bot tunda berlesen tempatan yang diusahakan oleh nelayan asing di perairan negara.

Memorandum mereka ditujukan kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Mereka meluahkan ketidakpuasan hati terhadap operasi bot laut dalam zon C dan C2 terutama melibatkan bot daripada pembelian secara terpakai luar negara, terutama Vietnam. yang diluluskan kerajaan.

Salahuddin memberi jaminan tidak ada kompromi terhadap kes penyalahgunaan lesen seperti yang dibangkitkan oleh kumpulan nelayan tersebut.

“Ini semua kita akan ambil tindakan yang tegas,” kata ahli Parlimen Pulai.

Mandat teruskan Operasi Naga

Selain itu, katanya, beliau juga telah meminta mandat kabinet untuk meneruskan Operasi Naga bagi menangani masalah pencerobohan nelayan asing, khususnya dari Vietnam.

Tambahnya, melalui Operasi Naga bersepadu kementeriannya, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri itu, sebanyak 62 kapal asing dihadapkan ke mahkamah antara April hingga Julai.

“Kita akan tunggu dulu keputusan mahkamah untuk 62 kes itu, dan menunggu akta perikanan yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dibawa ke Dewan Negara.

“Setelah mahkamah lupuskan hak kapal-kapal Vietnam itu, maka saya akan buat keputusan untuk musnahkan semua bot-bot nelayan ini. Sudah tak ada kompromi lagi, ya,” katanya lagi.

Tambahnya, selain itu, sejak 2015, 172 lesen laut dalam juga telah dibatalkan dengan kebanyakannya dibatalkan sejak 2018.

Lihat Komen
ADS