Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP lapor polis, gesa siasat dakwaan pecah amanah hasil GST

Anggota parlimen Jelutong RSN Rayer hari ini membuat satu laporan polis berhubung laporan peguam negara yang mendapati kemungkinan berlakunya pecah amanah dalam pengendalian hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) oleh pentadbiran BN yang lalu.

“Berdasarkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), terdapat juga satu laporan disediakan oleh peguam negara yang mendapati kerajaan dahulu tidak mematuhi syarat-syarat ditetapkan oleh undang-undang dalam mengendalikan hasil GST.

“Beliau berpendapat satu pecah amanah telah berlaku.

“Baru tadi, polis dari Bukit Aman telah merakam kenyataan saya,” katanya dalam sidang media bersama beberapa lagi anggota parlimen kerajaan yang lain.

Dalam laporan tersebut, Rayer memetik dokumen yang disediakan oleh Tommy Thomas berjudul “Memorandum treatment of GST monies” bertarikh 9 Oktober 2018, yang turut dilampirkan dalam laporan PAC.

Dokumen itu mengatakan: “Amalan kerajaan terdahulu dalam membayar hasil GST secara terus ke dalam akaun disatukan menyalahi prinsip asas undang-undang amanah dan keperluan perakaunan amanah.

“[...] Persoalan sama ada liability jenayah berhubung pecah amanah tersebut tidak disentuh dalam laporan ini, tetapi harus dipertimbangkan kelak."

Menjelaskan lanjut, Rayer berkata laporan polis yang dibuatnya meminta pihak berkuasa menyiasat kerajaan terdahulu atau pun mana-mana individu terbabit. 

Lihat Komen
ADS