Paling Popular
Terkini

Dakwaan pendakwah kontroversi, Wan Ji Wan Hussin bahawa dirinya dipukul ketika ditahan di Penjara Kajang sudah dibawa ke perhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman pihaknya menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Isu itu sudah dibawa ke perhatian KDN, tetapi kita biarkan polis siasat laporan tersebut.

"Di pihak kami setakat ini kita belum terima laporan, namun jika ada laporan sudah tentu kita akan lakukan siasatan,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Azis berkata demikian mengulas dakwaan Wan Ji dipukul ketika dalam tahanan.

Wan Ji pada Ahad lalu mendakwa dirinya dipukul oleh seorang warden penjara ketika ditahan di Penjara Kajang.

Menceritakan pengalamannya sehari selepas dibebaskan pada 12 Julai lalu, Wan Ji berkata warden berkenaan memintanya menanggalkan cermin mata sebelum menumbuknya sebanyak tiga kali selepas dia memperkenalkan diri.

Ekoran daripada itu Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini menggesa KDN segera menyiasat dakwaan Wan Ji itu.

Mengulas lanjut, Azis berkata dia juga mahu siasatan tersebut disegerakan bagi mengelak dari terus ditanya wartawan.

“(Kalau) ikut saya, lagi cepat lagi bagus, supaya kamu (media) semua tak tanya saya lagi,” katanya.

Pada 9 April 2018, Wan Ji dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan atas tuduhan menghina Sultan Selangor, namun pihak pendakwaan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam agar tempoh itu ditingkatkan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Julai lalu bersetuju untuk menambahkan hukuman penjara hingga setahun dan mengarahkan agar hukuman segera dijalankan walaupun pihak pembelaan memberitahu hakim mereka mahu memfailkan penangguhan dan rayuan.

Wan Ji menjalani hukuman penjara pada hari sama, sebelum hukumannya ditangguhkan tiga hari kemudian sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Lihat Komen
ADS