Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Khairuddin cari suaka politik kerana tak dilayan dalam Bersatu'
Diterbitkan:  Jul 16, 2019 10:10 PM
Dikemaskini: 2:10 PM

Gesaan Khairuddin Abu Hassan agar pihak berkuasa menyiasat ketulenan video-video lucah yang dikaitkan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim disifatkan sebagai langkah untuk mencari 'suaka politik' di tempat baru.

Pengarah Komunikasi PKR Melaka, G Rajandran berkata Khairuddin bertindak sedemikian kerana tidak mendapat jawatan dalam Bersatu.

"Kita tahulah sejarah dia. Sebelum PRU14 dia menubuhkan gerakan Deklarasi Rakyat. Lepas itu, menyertai Bersatu dan keluar Bersatu menyertai Amanah sebelum bertanding di parlimen Jasin, Melaka.

"Lepas kalah, dia tinggalkan Amanah menyertai semula Bersatu, tetapi tidak dapat apa yang diingini. Masih ahli biasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, selepas Dr Mahathir berulang kali mengesahkan akan serahkan kuasanya kepada Anwar, Khairuddin semakin terdesak untuk terus bersinar di arena politik.

"Kita tahulah, Khairuddin memang anti-Anwar. Jadi, lepas Mahathir tidak memberikan apa-apa kepadanya, Khairuddin kini cuba mencari 'tempat baru' untuk serang Anwar," tambahnya.

Terdahulu, Khairuddin dalam kenyataan media hari ini menggesa pihak polis untuk menyiasat semua video-video lucah yang dikaitkan dengan Anwar pada suatu masa dulu.

Khairuddin berkata dia akan mengumpulkan semula video-video lucah tersebut yang pernah ditularkan melalui media sosial  dan akan buat laporan rasmi kepada pihak penguatkuasa undang-undang dalam masa terdekat.

"Sesungguhnya, saya ingin buat laporan ke atas video-video lucah lama yang pernah tersebar sebelum ini yang pernah mengaitkan Anwar dalam rakaman tersebut," katanya.

Gesaan itu hadir selepas Anwar berkata rakyat di negara ini mahu tahu dua perkara berhubung klip video seks yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali; iaitu kesahihan dan dalang yang menyebarkan.

Rajandran yang menyertai PKR pada tahun 2000, berkata bahawa setahu pengetahuannya pihak polis sudah menyiasat banyak siasat dakwaan-dakwaan berkaitan Anwar.

"Anwar telah disoal siasat banyak kali. Kalau video pun setahu saya cuma sekali sahaja.

"Itu pun tidak dapat dibuktikan walaupun Anwar merupakan pembangkang ketika itu. Jadi, kenyataan banyak video dimaksudkan oleh Khairuddin agak mencurigakan," katanya.

Menangguk di air keruh

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman, menggesa Khairuddin supaya tidak menangguk di air keruh dengan membangkitkan semula kisah-kisah lama berkaitan video lucah membabitkan Anwar.

"Tindakan terdesak beliau ini hanyalah kerja sia-sia dan tidak menguntungkan rakyat. Anwar telah melalui satu proses derita yang panjang melibatkan badan kehakiman, pihak berkuasa dan segala bentuk siasatan.

"Fasa fitnah dan derita beliau sudah pun tamat dan beliau kini bersedia sepenuhnya sebagai bakal perdana menteri kelapan," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Syed Badli menyifatkan membangkitkan semula kisah Anwar adalah langkah pincang Khairuddin untuk melindungi pemimpin tertentu.

"Sebagai Penyelaras Parlimen Jasin, beliau seharusnya menumpukan tugas untuk memperkasakan institusi masyarakat dan bukannya melakukan kerja sia-sia. Umum mengetahui bahawa Parlimen Jasin masih dibawah cengkaman Umno dan BN," katanya.

Tambahnya, dengan tindakan Khairuddin seumpama itu, parlimen Jasin akan terus kekal di tangan pembangkang.

"Justeru saya ingin menasihatkan Khairuddin untuk berhenti melakukan kerja-kerja yang sia-sia kerana rakyat sudah jemu dengan politikus yang tidak bekerja untuk rakyat," ujar Syed Badli.

Lihat Komen
ADS