Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Video seks: PKR tak akan campur tangan siasatan pihak berkuasa
Diterbitkan:  Jul 17, 2019 6:22 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

PKR tidak akan masuk campur dalam siasatan pihak berkuasa berhubung kes video seks yang membabitkan pemimpinnya, maklum Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution.

Saifuddin juga meminta diberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk merungkai dua persoalan penting dalam kes ini.

"Pertama, kesahihan video yang disebarkan dengan mengenal pasti pelaku di dalam video.

"Kedua, kesalahan menyebarkan video lucah selaras," katanya.

Menurutnya, PKR hanya akan bertindak berlandaskan perlembagaan parti selepas tindakan undang-undang dibuat oleh pihak berkuasa.

“PKR tidak akan campur tangan di dalam siasatan pihak berkuasa berkenaan dua perkara di atas.

"Ibu pejabat PKR sedia maklum mengenai penahanan seorang pemimpin PKR di peringkat negeri bersama dua orang lagi, seperti yang dilaporkan oleh portal berita hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selanjutnya, setiausaha agung PKR "mengingatkan pihak berkuasa supaya siasatan wajar dilihat telus dan merungkai dua persoalan di atas."

"Supaya siasatan di bawah Seksyen-seksyen 377B dan 292(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi dapat disempurnakan dengan seadilnya,” jelasnya lagi.

Tiga lagi individu termasuk pembantu Presiden PKR Anwar Ibrahim telah ditahan semalam berhubung klip video seks itu yang mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Dalam kenyataan media sebelum ini, Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Md AKin menggesa pemimpin politik yang dikaitkan dengan salah laku supaya bercuti sementara daripada menjalankan tugas rasmi sehingga siasatan ke atas mereka selesai sepenuhnya.

Shamsul juga meminta individu terbabit "tidak berselindung di sebalik jawatan tinggi, apatah lagi di belakang perdana menteri.”

Meskipun tidak menyebut secara langsung, kenyataaan Shamsul itu dipercayai merujuk kepada Azmin yang dikaitkan dengan video seks sejenis bersama bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

“Contohnya, jika seseorang pegawai kerajaan berhadapan siasatan pihak berkuasa, beliau akan dilepaskan daripada tugas hakiki buat sementara waktu dan jika didakwa di mahkamah, beliau akan digantung tugasan serta merta.

“[...] Saya menyeru agar pemimpin-pemimpin yang didakwa terlibat dengan salah laku agar bercuti secara sukarela bagi memberi laluan kepada siasatan dijalankan secara sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Anwar Ibrahim pula berpandangan Azmin perlu meletakkan jawatan daripada kabinet jika terbukti beliau terlibat dalam video seks yang kini dalam siasatan polis.

Lihat Komen
ADS