Kes Beng Hock: Penjelasan AG tak boleh diterima - Ramkarpal
Peguam Ramkarpal Singh berkata pihaknya tidak dapat menerima penjelasan Pejabat Peguam Negara mengenai keputusan untuk mengklasifikasikan semula kes kematian Teoh Beng Hock.
"Kami mengambil pandangan yang sangat berbeza, kami merasakan terdapat bukti yang mencukupi untuk dakwaan membunuh.
"Kami tahu identiti, penglibatan dan peranan mereka (dalam kematian Beng Hock). Untuk mengatakan bahawa terdapat bukti yang tidak mencukupi, saya tidak fikir ia boleh diterima.
"Kami menggesa peguam negara untuk meneliti bukti yang berada di hadapannya," katanya pada sidang akhbar di lobi parlimen hari ini.
Terdahulu, Peguam Negara, Tommy Thomas menjelaskan pengkelasan semula kes Teoh Beng Hock di bawah kesalahan mengurung seseorang secara salah dan bukan bagi kesalahan membunuh adalah semata-mata satu prosedur pentadbiran.
Dalam sepucuk surat kepada Ramkarpal yang mewakili keluarga Teoh, Thomas menjelaskan tiada bukti mencukupi untuk mengkelaskan kes itu bawah kesalahan membunuh.
“Arahan jabatan ini kepada polis untuk membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan hanyalah prosedur pentadbiran.
“Keputusan ini adalah perlu kerana walaupun dengan pelbagai penyiasatan oleh pegawai di jabatan ini, yang paling baru pada Mac 2019, bukti pada masa sekarang tidak cukup untuk mengkelaskannya bawah Seksyen 304 atau 304 A Kanun Keseksaan,” katanya yang merujuk dapatan yang diperoleh daripada Mahkamah Rayuan pada 2004.

Bagaimanapun, tambahnya, hal itu tidak menghentikan usaha pasukan penyiasat daripada mendapatkan lebih banyak bukti.
“Pengkelasan terbaru ini tidak menghalang, dalam apa cara sekalipun, para penyiasat untuk menyiasat tentang kebenaran kes ini, atau siapa yang terlibat dalam kematian Teoh,” katanya lagi.
Surat berkenaan sebagai balasan kepada surat terdahulu yang dihantar Ramkarpal kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ramkarpal yang mewakili keluarga Teoh berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Thomas tidak lama lagi bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Teoh ditemui mati di ibu pejabat SPRM Selangor pada Julai 2009 selepas hadir untuk disoal siasat oleh pegawai SPRM sebagai saksi.
Mahkamah Koroner memberikan keputusan terbuka selepas tidak dapat menentukan sama ada Teoh dibunuh atau membunuh diri.
Mahkamah Rayuan, pada bulan September 2014, mengetepikan keputusan terbuka dan menyimpulkan bahawa seseorang atau beberapa orang bertanggungjawab atas kematian Teoh.
Seksyen 342 adalah mengenai kesalahan kesalahan mengurung seseorang secara salah dan boleh dihukum dengan penjara tidak lebih setahun, atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Seksyen 304 pula mengenai kesalahan membunuh yang membawa hukuman tidak lebih 30 tahun dan denda (jika membunuh dengan niat), atau penjara tidak lebih 10 tahun, atau denda, atau kedua-duanya (jika dilakukan tanpa niat tetapi mempunyai niat mendatangkan kecederaan teruk yang boleh mendatangkan kematian).
Seksyen 304A pula mengenai menyebabkan kematian kerana cuai dan membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.
Dalam satu surat bertarikh 8 Julai, Thomas berkata penyiasatan bawah Seksyen 342 selari dengan rumusan Mahkamah Rayuan yang menyatakan "Teoh tak diberi kebebasan untuk keluar dari premis SPRM biarpun dia tak pernah ditahan".
Dia turut memberi jaminan bahawa kes tersebut boleh dikelaskan semula jika ada bukti baru ditemukan.
"Jika ada bukti baru ditemukan oleh polis, pendakwa raya tidak dihalang daripada mengenakan dakwaan bawah kesalahan membunuh atau apa-apa dakwaan yang bersesuaian bagi membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan," katanya.
Teoh ditemui mati di ibu pejabat SPRM Selangor pada Julai 2019 setelah disoal siasat sebagai saksi oleh pegawai SPRM.
Mahkamah Koroner memberikan keputusan terbuka untuk kes itu setelah tidak dapat mengenal pasti sama Teoh dibunuh atau membunuh diri.
Mahkamah Rayuan pada September 2014 mengetepikan keputusan terbuka itu dan merumuskan seorang atau lebih individu bertanggungjawab atas kematian Teoh.
Dalam satu penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kerajaan bersetuju memberi pampasan sebanyak RM600,000 kepada keluarga Teoh kerana cuai.
Bagaimanapun, keluarga Teoh enggan berputus asa selagi pegawai SPRM yang dikatakan bertanggungjawab atas kematian Teoh tidak dikenakan tindakan.
Ramkarpal yang juga anggota parlimen Bukit Gelupor, pada 28 Jun telah menghantar surat bertanyakan sama ada pengkelasan kes Teoh bawah kesalahan mengurung secara salah bermaksud bahawa AGC menolak kemungkinan kesalahan membunuh.

