Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan baru tidak pernah meminda atau melaksanakan semakan semula terhadap kurikulum dan buku teks mata pelajaran Sejarah.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu menegaskan, semakan terakhir kurikulum mata pelajaran itu kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2017 dan buku teks serta kurikulum kini adalah berasaskan kepada semakan berkenaan.

Menurut kementerian, pelaksanaan semakan kurikulum dan buku teks mata pelajaran Sejarah telah dilaksanakan secara berfasa sejak tahun 2017.

“Kohort pertama yang mempelajari mata pelajaran Sejarah dan menggunakan buku teks Sejarah semakan terkini ini adalah murid Tingkatan Satu pada tahun 2017, yang mana mereka merupakan murid Tingkatan Empat pada tahun 2020,” kata kementerian itu.

Baru-baru ini telah ditimbulkan isu bahawa buku teks sejarah tingkatan tiga telah dipinda dengan melibatkan pemansuhan beberapa bab berkaitan pendudukan Jepun di negara ini dan ancaman Parti Komunis Malaya serta darurat.

Walau bagaimanapun, menurut kementerian pendidikan semakan 2017 bermula asalnya pada 2012 membabitkan pakar sejarah, pensyarah universiti awam, guru cemerlang sejarah dan pegawai kurikulum di dalam jawatankuasa kerja penambahbaikan mata pelajaran sejarah (JKPMPS) panel pakar rujuk kurikulum sejarah dan buku teks sejarah.

“Tiada mana-mana bahagian yang digugur, dibuang atau dimansuhkan, sebaliknya ia disusun dan diatur semula supaya kurikulum dipelajari pelajar lebih kemas dan bersistematik bagi memudahkan pemahaman mereka tentang sejarah negara,” kata kementerian itu.

Kandungan kurikulum standard sekolah menengah (KSSM) sejarah menurut kementerian, disusun secara kronologi mengikut garis masa peristiwa sejarah yang mana tajuk-tajuk yang diajarkan kepada murid adalah secara berkesinambungan daripada tingkatan satu sehingga tingkatan lima supaya murid dapat memahami sejarah negara dengan lebih mendalam.

“Kandungan KSSM sejarah tingkatan tiga adalah bertemakan kedatangan kuasa asing. Di bawah tema ini, murid diajar tentang campur tangan dan penjajahan kuasa barat dan tindak balas masyarakat tempatan.

“Di bawah tajuk campur tangan dan penjajahan kuasa barat, murid didedahkan dengan kedatangan kuasa barat, pentadbiran negeri-negeri Selat, negeri-negeri Melayu Bersekutu, negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Sabah dan Sarawak serta kesan pentadbiran barat terhadap ekonomi dan sosial di negara kita,” katanya.

Sementara itu, jelasnya, di bawah tajuk tindak balas masyarakat tempatan, murid didedahkan dengan penentangan penduduk tempatan yang melibatkan pergerakan nasionalisme tahap pertama yang bersifat setempat dan kebijaksanaan raja Melayu dan pembesar menangani cabaran Barat sehingga melambatkan proses perluasan kuasa barat di negara kita.

Kenyataan itu turut memaklumkan, tajuk Pendudukan Jepun di Negara Kita, Ancaman Parti Komunis Malaya dan Darurat yang dahulunya dipelajari oleh murid tingkatan tiga menerusi kurikulum bersepadu sekolah menengah (KBSM) akan diajar kepada murid di tingkatan empat pada tahun 2020 berdasarkan KSSM sejarah baru.

“Kementerian meminta mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab agar menghentikan usaha menyebarkan sebarang maklumat tidak benar mengenai perkara ini,” katanya.