Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR mahu jumpa kementerian bincang pendidikan pengundi pelajar

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan bagi menyediakan modul pendidikan pengundi kepada pelajar sekolah untuk memberi pemahaman mengenai demokrasi dan pilihan raya sejak di awal usia.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, berkata pendidikan mengenai demokrasi dan pilihan raya perlu didedahkan sejak awal usia persekolahan supaya mereka lebih bersedia dan memahami proses itu.

“Kita boleh ambil contoh seperti di Australia yang mana pendidikan pengundi sudah dimulakan ketika mereka berada di Tahun Tiga iaitu ketika berumur sembilan tahun. Pada umur itu mereka sudah tahu dan didedahkan mengenai hak mengundi, proses pengundian dan sebagainya.

“Jadi sebab itu saya fikir kita boleh bincang dengan Kementerian Pendidikan untuk masukkan sedikit modul mengenai demokrasi, pilihan raya, hak mengundi dan sebagainya bagi memberi pendedahan kepada pelajar di negara ini sejak di awal usia," katanya pada sidang media selepas majlis forum berjudul 'Make A Change, Let' s Do It Together' anjuran SPR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu kesediaan pengundi muda di negara ini ekoran penurunan had umur layak mengundi kepada 18 tahun.

Selain menurunkan umur warganegara layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan perlembagaan pada 16 Julai lalu itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan dewan undangan negeri kepada 18 tahun.

Mereka juga didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu diluluskan di Dewan Rakyat setelah memperoleh lebih dua per tiga persetujuan dengan sokongan 211 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Azhar berkata beliau juga akan memastikan modul yang akan dibincangkan itu nanti tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

“Kita akan mengadakan sesi libat urus dengan kedua-dua pihak dari kerajaan dan pembangkang bagi memastikan perkara itu kerana kita tidak mahu ada pihak yang salah faham dan menimbulkan tuduhan bahawa SPR mahu membawa dakyah atau apa saja," katanya.

Terdahulu ketika menjadi panel forum anjuran SPR hari ini, Adun Ketari, Young Syefura Othman (gambar) berkata menjadi tanggungjawab SPR untuk memastikan pelajar mendapatkan pendidikan awal berhubung langkah kerajaan itu.

“Ia baru diluluskan dua hari kali dan kita masih belum jelas dan faham. Jadi, inilah tanggungjawab kerajaan, SPR untuk pastikan mereka yang berusia 18 tahun ini faham apa yang perlu dilakukan

“Di pihak sekolah lagi kita perlu jelaskan tentang tanggungjawab sebagai pengundi, peranan Dewan Rakyat, Dewan Negara kerana kadang-kadang mereka ini tak tahu apa tugas anggota Parlimen dan apabila mereka jelas akan tugas-tugas ini kita akan tahu.

“Bagi saya dari peringkat sekolah lagi diperlukan penjelasan silibus terbaru untuk memastikan adik-adik ini khususnya dari peringkat persekolahan hingga 18 tahun jelas dan faham apa tanggungjawab mereka, apa yang perlu mereka lakukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata beliau juga tidak dapat memberi jaminan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka berlangsung pada 2021 akan dapat melaksanakan ketiga-tiga keputusan pindaan RUU itu.

Katanya, jika boleh beliau berharap PRN Sarawak menjadi projek perintis susulan perkembangan baru itu.

"Namun kita tidak mahu ia mendatangkan masalah sewaktu pilihan raya itu berlangsung, biarlah tiada masalah akan timbul apabila dilaksanakan kelak," katanya.

Lihat Komen
ADS