Polis tahan semula banduan melarikan diri
Polis berjaya menahan semula seorang banduan di Melaka malam tadi yang melarikan diri ketika bekerja di sebuah padang golf pada tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad, berkata banduan tersebut berjaya ditahan semula pada pukul 8.45 malam tadi di lokasi yang jaraknya kira-kira 150 meter dari tempat dia melarikan diri.
“Pada kira-kira pada pukul 12.50 tengah hari semalam seorang banduan telah melarikan diri ke kawasan hutan di belakang Tiara Golf Country.
“Ketika kejadian, suspek bekerja bersama sembilan lagi banduan lain sebagai perkerja am dikawal selia oleh dua orang anggota penjara,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata banduan tersebut masih mempunyai baki tahanan selama dua bulan sebelum boleh dibebaskan.
Katanya suspek sebelum ini ditahan kerana melakukan kesalahan 304(b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.
-Bernama

