Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan gangguan seksual: Bekas pegawai saman MP Sg Siput
Diterbitkan:  Jul 19, 2019 6:21 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Bekas pegawai Anggota Parlimen Sungai Siput telah memfailkan saman terhadap bekas majikannya itu yang menurutnya membuat dakwaan dengan niat untuk menjatuhkan reputasinya.

R Indrani, yang juga bekas bendahari PKR Sungai Siput, memfailkan saman fitnah itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu.

Pada Mei lalu, Indrani pernah membuat laporan polis selepas mendakwa Kesavan membuat gangguan seksual terhadapnya sejak Disember tahun lalu.

Kesavan menafikan perkara itu dan turut membuat laporan polis kerana mengadu tentang trauma dan gangguan jiwa terhadapnya berkenaan dakwaan itu.

"Saya R Indrani mengesahkan membuat satu saman malu terhadap S Kesavan pada 16 Julai 2019 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Saya ialah bekas pegawai penyelidiknya. Saya kurang selesa kerana difitnah oleh Kesavan pada 18 Mei apabila dia mendakwa saya cuba menjatuhkan reputasinya selain menaruh hati terhadapnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 18 Mei lalu, Kesavan menafikan dakwaan dia ada membuat gangguan seksual terhadap Indrani sebaliknya mendakwa Indrani yang kerap menelefonnya serta cuba mengganggu rumah tangganya.

Kenyataan itu selepas Indrani membuat laporan polis berikutan dakwaan gangguan seksual yang diterimanya.

Menurut Indrani lagi, kenyataan Kesavan telah dibaca masyarakat Malaysia dan memberi implikasi dirinya tidak bermoral dan tiada integriti, serta mencemarkan reputasinya sebagai ahli politik dan wanita yang telah berkahwin.

"Selain itu saya juga digambarkan sebagai seorang yang tidak mempunyai sifat etika bertanggungjawab professional serta lain-lain etika yang penting bagi menyandang jawatan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS