Zahid: Orang PAS pun mahu Ahmad Jazlan kekal di Machang
Meskipun Ahmad Jazlan Yaakub menyatakan kesediaan untuk melepaskan kerusi parlimen Machang kepada PAS, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yakin penyokong PAS sendiri mahukan pengerusi badan perhubungan Umno negeri itu kekal menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.
"Ini kerana rekod perkhidmatan cemerlang ditunjukkan beliau selama ini, baik ketika kita kerajaan persekutuan mahupun ketika kita menjadi pembangkang seperti sekarang," kata Ahmad Zahid seperti dilapor Utusan Online.
Zahid berkata demikian sebagai mengulas kesediaan Ahmad Jazlan melepaskan kerusi Machang yang telah disandangnya selama tiga penggal.
Ahmad Mazlan sebelum itu berkata dia sanggup berbuat demikian demi memantapkan agenda penyatuan ummah.
Kata Ahmad Jazlan, soal kedudukan kerusi yang mahu ditandingi parti bukan lagi perkara utama dalam proses penyatuan ummah yang ingin direalisasikan.
"Kalau ini mampu kuatkan lagi penyatuan ummah, kalau ini mampu menjadi contoh terbaik, kalau kerusi parlimen Machang milik Umno ini menjadi taruhannya, saya secara terbuka dengan hati tulus ikhlas rela korbankan asalkan perjuangan kita tercapai," katanya.
Pada PRU14 lalu, Ahmad Jazlan yang juga pengerusi Umno negeri mempertahankan kerusi Parlimen Machang dengan majoriti 2,824 undi menewaskan calon PAS, Zulkifli Mamat dan calon Bersatu, Sazmi Miah.

