Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kapal Korea diserang lanun berhampiran Selat Singapura
Diterbitkan:  Jul 22, 2019 12:15 PM
Dikemaskini: 4:15 AM

GLOBAL l Sebuah kapal pengangkut Korea Selatan telah diserang lanun berhampiran Selat Singapura pada Isnin, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan rasmi pegawai kerajaan di Busan.

Kumpulan lanun yang bersenjatakan senapang dan lain-lain menyerang kelasi kapal seberat 44,132 tan yang didaftarkan di Korea Selatan itu, CK Bluebell, di kawasan laut kira-kira 100 batu dari laluan masuk ke selat tersebut pada pukul 4.25 pagi sebelum melarikan sejumlah US$13,000 wang tunai, menurut kenyataan para pegawai Kementerian hal Ehwal Maritim dan Perikanan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat serangan itu, namun beberapa kelasi mengalami kecederaan ringan seperti lebam semasa konfrontasi mereka dengan lanun terbabit.

Selain wang tunai, sesetengah kelasi kehilangan barangan peribadi mereka termasuk telefon bimbit, pakaian dan kasut, yang diambil oleh penyerang.

CK Bluebell, yang dalam perjalanan ke Incheon setelah berlepas dari Brazil, meneruskan navigasinya seperti biasa selepas serangan itu, menurut para pegawai.

"Navigasi kapal pengangkut biasa ialah pada kelajuan di bawah 15 knot. Bagaimanapun kelajuan bot laju yang dinaiki lanun terbabit ketika mendekati kapal pengangkut adalah melebihi 20 knot. Selepas itu, tujuh lanun bersenjata menaiki dan menyerang kelasi selama kira-kira 30 minit," kata seorang pegawai kementerian itu.

Pegawai itu berkata kementerian tersebut telah menghantar berita mengenai serangan lanun tersebut kepada semua kapal yang didaftarkan di Korea berhampiran Selat Singapura dan meminta mereka agar berwaspada.

- Bernama

Lihat Komen
ADS