Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Azmin: Serah pihak berkuasa dedah dalang video seks
Diterbitkan:  Jul 23, 2019 8:51 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berkata terserah kepada pihak berkuada mendedahkan dalang di sebalik video seks yang didakwa melibatkannya itu.

Sinar Harian memetik Azmin berkata hal ini disebabkan beliau tidak mempunyai peranan untuk mendedahkan siapa dalang terlibat berikutan siasatan mengenai penyebaran video berkenaan dijalankan pihak polis.

"Saya telah tegaskan bahawa kita serahkan kepada pihak berkuasa. Pihak berkuasa telah pun membuat laporan awal dan hasil siasatan bahawa ada tangan-tangan ghaib yang terlibat dengan jumlah yang begitu besar untuk melancarkan serangan fitnah ini.

"Jadi, kita serahkan kepada pihak berkuasa. Saya tidak mempunyai peranan untuk membuat pendedahan tersebut kerana siasatan dibuat pihak berkuasa," katanya.

Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Silaturahim Bersama Warga Peserta Felcra Seberang Perak di Dewan Besar Felcra Bandar Seberang Perak, di Pasir Salak, semalam, lapor Sinar Harian.

Kelmarin, Azmin hadir majlis doa selamat dan kenduri kesyukuran di Kediaman Menteri Besar Selangor.

Ketika berucap, beliau berkata tahu identiti yang menjadi dalang dalam skandal video seks berkenaan.

Bagaimanapun, timbalan presiden PKR itu enggan mendedahkan nama individu yang dimaksudkannya sebagai dalang itu.

Menurutnya lagi, perkara itu masih dalam siasatan dan beliau dimaklumkan perlu menunggu siasatan tersebut lengkap terlebih dahulu.

Sementara itu, Utusan Online malam tadi melaporkan Presiden Pakatan Harapan (PH), Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan Azmin dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk bekerjasama dengan pihak polis berhubung isu dalang penyebaran video seks tersebut.

Wan Azizah dipetik berkata, hal ini kerana kedua-dua mereka dilihat mempunyai maklumat yang dapat membantu dalam penyiasatan kes berkenaan.

“Eloklah dia (Mohamed Azmin) dan Menteri Besar Selangor bekerjasama dengan polis. Ini kerana mereka nampak gaya mempunyai maklumat yang sepatutnya dapat menolong dalam penyiasatan kes ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS