Perdana Menteri berkata kerajaan mahu Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia menjalin muafakat bestari apabila memutuskan supaya MAS mengendalikan perkhidmatan penerbangan domestik laluan utama dan AirAsia menyediakan perkhidmatan penerbangan kos rendah.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan mahu kedua-dua syarikat itu bekerjasama dalam muafakat bestari yang membolehkan mereka bergerak dan terus mendapat keuntungan.

"Saya berpendapat, keputusan yang dibuat pada peringkat ini akan memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak. Soalnya besar atau kecil keuntungan itu bergantung kepada kemampuan pengurusan kedua-dua syarikat. Yang penting kita tidak mahu berlaku masalah kepada mana-mana pihak," kata Abdullah.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pangkalan Polis Marin Wilayah Utara di Batu Uban, Pulau Pinang hari ini Perdana Menteri berkata keputusan yang diumumkan semalam itu adalah hasil perbincangan antara MAS dan AirAsia.

Beliau bagaimanapun berkata kedua-dua syarikat itu masih perlu memperjelaskan dan bekerjasama ke arah menentukan definisi laluan utama dan laluan bukan utama.

"Itu satu perkara yang perlu diperjelaskan dan dipersetujui, lain daripada itu tiada apa-apa masalah lagi," katanya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan kerajaan itu sebagai usaha untuk merasionalisasikan sektor penerbangan domestik dan kerajaan turut menetapkan bahawa AirAsia mengendalikan perkhidmatan penerbangan domestik laluan bukan utama.

Kenyataan itu menyebut MAS dan AirAsia juga diberi kelonggaran menentukan kekerapan penerbangan, pengagihan kapasiti serta jenis pesawat dan tambang, tertakluk kepada kawal selia Kementerian Pengangkutan.

Kementerian itu akan meningkatkan keupayaan dan mekanisme kawal selia untuk memastikan persaingan yang sihat dalam sektor penerbangan domestik.

Menurut kenyataan itu, kerajaan berpandangan bahawa proses merasionalisasikan sektor perkhidmatan penerbangan domestik diperlukan bagi menentukan kejayaan jangka panjang MAS dan AirAsia.

Keputusan itu bertujuan memastikan perkhidmatan penerbangan domestik terus berdaya saing dan memenuhi keperluan semua pengguna.

MAS dan AirAsia diminta mengemukakan hasil perbincangan itu kepada kerajaan sebelum 27 Mac ini untuk pertimbangan muktamad.