Sebanyak 232 syarikat pengendali bas ekspres di seluruh negara bersetuju tidak menaikkan tambang meskipun harga minyak naik 30 sen seliter baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Khaled Norden berkata, mereka memberi jaminan itu dalam surat yang dihantar kepada Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya akan terus mengadakan operasi mengejut bagi memastikan tambang bas tidak dinaikkan.

Katanya, LPKP juga setakat ini tidak menerima sebarang aduan kenaikan harga tambang bas ekspres berikutan kenaikan harga minyak.

"Walaupun 16 syarikat bas yang beroperasi di Melaka telah menaikkan tambang mereka tetapi selepas rundingan dengan LPKP, operator mereka menurunkan tambang kepada harga asal," katanya selepas merasmikan karnival pendidikan Mara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara.

Mengenai Tabung Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam (Kwapa), beliau berkata dana RM4 bilion itu akan digunakan untuk menyedia dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di seluruh negara.

"Ia membabitkan pembinaan landasan keretapi, perhentian bas dan sistem tiket bersepadu dalam Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK9)," katanya.

Beliau berkata, ia akan memberi kemudahan secara tidak langsung kepada sistem pengangkutan awam di negara ini.

Mara dan IPTS

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Mohammad Khaled berkata, kementeriannya sedia membantu Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera yang menghadapi masalah.

Bagaimanapun, katanya, bantuan itu bergantung kepada jumlah peruntukan kewangan yang diperolehi kementeriannya dari Kementerian Kewangan.

Mohammad Khaled menjelaskan bahawa kewujudan institusi pendidikan Mara seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Institut Kemahiran Mara (IKM), bukan untuk bersaing dengan IPTS Bumiputera.

"Ini tanggungjawab sosial kerajaan kerana kos pendidikan yang tinggi, terutama penyediaan infrastruktur yang tinggi tidak mampu disediakan oleh pihak swasta," katanya.

Beliau berkata, jika IPTS Bumiputera mampu menyediakan pendidikan yang bermutu dan memenuhi kehendak pasaran, ia tidak akan menghadapi masalah untuk mendapatkan pelajar.