Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tangkap Azmin kalau ada kredibiliti - Farhash cabar IGP

Farhash Wafa Salvador mencabar Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador untuk menahan Azmin Ali berhubung video seks yang dikaitkan dengan menteri hal ehwal ekonomi itu.

Beliau juga percaya terdapat konspirasi politik terhadap presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Jadi, jika ketua polis negara mempunyai kredibiliti, dia harus masukkan Azmin ke dalam," katanya ketika berucap kepada penyokong dan wartawan selepas dibebaskan dari Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Farhash, yang juga setiausaha politik Anwar berkata pegawai polis sendiri bingung tentang mengapa beliau ditangkap dan bukan Azmin.

"Saya tak kelihatan pun macam Azmin. Jadi kenapa polis tak boleh hanya panggil (untuk soal siasat) dan merakam keterangan saya?

"Tapi mereka pilih untuk tahan saya seperti saya seorang pembunuh, seorang banduan peringkat bawah. Mereka cuba untuk kenakan tindakan paling keras kepada saya.

"Mereka cuba untuk menahan reman saya selama tujuh hari dan melanjutkannya selama tujuh hari lagi, maksimum. Alhamdulillah, saya ada peguam yang bagus," katanya.

Beliau kebanyakan pegawai yang ditemui menyatakan kehairanan mengapa beliau ditahan.

"Jadi, polis pun keliru. Kebanyakan pegawai yang temui saya rasa hairan. Mereka fikir mengapa bukan Azmin ditahan dan kenapa saya yang ditahan," katanya.

Minggu lalu, Hamid mengesahkan video seks berkenaan tulen, namun proses pengecaman wajah gagal mengaitkan Azmin sebagai salah seorang lelaki dalam rakaman itu. 

Hamid juga mendedahkan wujud konspirasi untuk merosakkan reputasi menteri berkenaan yang didalangi seorang pemimpin parti politik.

'Bagi berehat kepada Azmin'

Sementara itu, Farhash, yang juga pengerusi PKR Perak berkata adalah tidak adil bagi pihak polis menahan beliau sedangkan tiada laporan dibuat terhadapnya.

Pembantu politik itu yang menghabiskan selama lapan hari dalam tahanan reman selepas ditangkap 16 Julai lalu, berkata beliau berada dalam keadaan baik tetapi kehilangan berat badan.

Secara menyindir beliau mengucapkan terima kasih kepada ketua polis negara kerana memberinya "cuti selama lapan hari."

"Tapi saya rasa malangnya saya bukan Azmin Ali. Seeloknya kalau nak bagi berehat, bagi berehat kepada Azmin," katanya.

Selain Farhash, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz turut dibebaskan dengan jaminan polis petang.

Bagaimanapun pemuda itu beredar tanpa bercakap kepada wartawan, selain hanya mengatakan dia berada dalam keadaan baik.

Peguamnya, Kenzin Goik ketika ditemui berkata polis bertindak secara profesional sepanjang penahanannya.

"Siasatan hampir selesai. Oleh itu, tidak mungkin dia akan ditangkap lagi. Kita akan tengok jika Haziq didakwa, kita tidak pasti,"katanya.

Haziq mendakwa dia adalah salah seorang dalam video seks yang dikaitkan dengan Azmin. 

Beliau berkata aksi seksual mereka dirakam tanpa pengetahuannya di bilik hotel yang diinap menteri berkenaan di Sandakan, Sabah pada bulan Mei.

Berikutan itu, bekas setiausaha politik kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Md Akin itu ditahan pada 14 Jun. 

Dia dibebaskan pada hari berikutnya sebelum ditahan semula pada 14 Julai.

Selain menyebarkan bahan lucah, dia juga disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan seks luar tabii.

Lihat Komen
ADS