Pergerakan Wanita Umno mahu jawatan Hakim Mahkamah Syariah dinaikkan taraf supaya mereka yang berkelulusan tinggi dan berpengalaman berminat berkhidmat di mahkamah tersebut.

Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, kedudukan Hakim Mahkamah Syarie terlalu rendah menyebabkan mereka yang berkelulusan tinggi dan berpengalaman tidak mahu menyertainya.

Menurutnya, kekurangan hakim di Mahkamah Syarie menyebabkan banyak kes membabitkan undang-undang Islam tidak dapat diselesaikan segera atau tertangguh.

"Berikutan itu Pergerakan Wanita Umno mencadangkan jawatan hakim berkenaan diserapkan dalam Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) bagi membolehkan hakim yang berpengalaman berkhidmat di Mahkamah Syariah," katanya selepas mengadakan mesyuarat bulanan Wanita Umno di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.

Sementara itu, Rafidah yang juga Menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa berkata, wanita yang berkelayakan juga boleh dilantik mengisi kekosongan jawatan Hakim Mahkamah Syariah.

Mengenai rang undang-undang keluarga Islam yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan, Rafidah berpuashati dengan penjelasan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.

Rafidah berkata: "Apa yang wanita mahu ada dalam rang undang-undang tersebut."

Turun padang

Bagaimanapun, katanya, Pergerakan Wanita Umno akan turun padang bagi memastikan apa yang ada dalam undang-undang tersebut dilaksanakan atau sebaliknya.

"Biro Undang-undang Wanita Umno di setiap negeri akan memantau sama ada rang undang-undang tersebut dilaksanakan setelah ia diluluskan," katanya.

Rafidah juga menggesa perkataan-perkataan yang digunakan di Mahkamah Syariah dijelaskan supaya ia dapat memberi kefahaman kepada semua golongan masyarakat.

Ini kerana, katanya perkataan itu yang tidak difahami itu, telah menimbulkan pelbagai tanggapan kepada orang ramai khususnya yang beragama Islam.

Sementara itu, Wanita Umno akan memberi penerangan kepada rakyat mengenai tindakan kerajaan menaikkan harga minyak baru-baru ini.

Rafidah juga memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu jangan menggunakan isu kenaikan harga minyak ini untuk memburuk-burukkan kerajaan.