Tak mungkin Haziq akan ditangkap lagi, kata peguam
Pengamal undang-undang Kenzin Goik percaya anak guamnya Haziq Abdullah Abdul Aziz tidak akan ditangkap lagi dalam siasatan kes video asmara sejenis yang dikaitkan dengan menteri ekonomi Azmin Ali.
"Siasatan hampir selesai.
“Oleh itu, tidak mungkin dia akan ditangkap lagi,” kata Kenzin selepas pembebasan bekas pemimpin muda PKR Sarawak itu daripada tahanan reman di ibu negara petang ini.
Kenzin bagaimanapun tidak pasti sama ada anak guamnya akan dituduh di mahkamah.
Haziq ditahan pada 18 Julai lalu susulan siasatan berkaitan video seks sejenis.
Lelaki 20-an itu mengaku sebagai pelaku dalam video itu tetapi Azmin menafikannya.

Polis berkata kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi tetapi pengecaman wajah negatif.
Sementara itu, peguamnya, Kenzin ketika ditemui berkata polis bertindak secara profesional sepanjang penahanannya.
“Kita akan tengok jika Haziq didakwa.
“Kita tidak pasti," katanya.
Keadaan baik, kata Haziq
Sementara itu, Haziq selepas dibebaskan beredar tanpa bercakap kepada wartawan.
Dia hanya mengatakan berada dalam keadaan baik.
Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak turut dibebaskan daripada tahanan reman hari ini.
Tetapi berbeza dengan Haziq, beliau mendapat sambutan ala wira - dijulang dan dikalungkan bunga malai.

