Ketua Wanita Umno Kedah, Datuk Rosnah Majid meletak jawatan berkuatkuasa serta merta untuk memberi tumpuan kepada bidang perniagaan.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz berkata tempat Rosnah diisi oleh Naib Ketua wanita Umno Kedah Datin Salmah Mat Isa manakala Ketua Wanita Umno Bahagian Jerai Halijah Arshad dilantik sebagai Naib Ketua baru.

"Datuk Rosnah Majid (gambar kiri) telah menghantar surat meletak jawatan sebab nak tumpu perhatian sepenuh masa pada perniagaan, juga bertugas membantu Kulim Hi-Tech Park."

"Saya telah minta dia tangguhkan berapa bulan dulu. Sekarang kita terimalah peletakan jawatannya," kata Rafidah selepas mempengerusikan mesyuarat exco Wanita Umno di ibunegara.

Rosnah, yang dihubungi Bernama kemudiannya, berkata peletakan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno Kedah adalah untuk memberi tumpuan dalam bidang perniagaan yang diceburinya.

Katanya hasrat untuk meletak jawatan telah dirancang setahun yang lalu tetapi terpaksa ditangguhkan kerana ketika itu masanya kurang sesuai.

"Memang saya dah hadkan penglibatan saya dalam politik, dan ini juga merupakan janji saya kepada keluarga," katanya.

Rosnah, yang pernah berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Malaysia merupakan wanita pertama yang menjadi exco kerajaan negeri Kedah.

"Saya akan terus menyokong apa sahaja aktiviti politik yang dijalankan walaupun saya tidak lagi memegang apa-apa jawatan," katanya.