Polis NS sita RM3 juta aset pengedar dadah
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan berjaya menyita sejumlah RM3 juta aset pengedar dadah berbanding RM1.9 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.
Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Datuk Mohamad Mat Yusop berkata sitaan itu melibatkan rumah, kenderaan, wang tunai, wang dalam akaun dan barangan kemas.
"Ini menunjukkan peningkatan yang amat ketara iaitu sebanyak 62 peratus. Dengan tindakan penyitaan ini, JSJN negeri ini dapat melumpuhkan sumber kewangan dan ekonomi pengedar dadah ini," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. .
Sementara itu, katanya seramai 4,117 orang telah ditangkap dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini di negeri ini kerana terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Katanya daripada jumlah tangkapan itu, 397 adalah pengedar dadah, 1,062 orang memiliki dadah, manakala 2,658 orang ujian air kencing positif dadah.
Mohamad juga berkata seramai 15 pegawai dan anggota polis di negeri ini, ditahan terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah pada enam bulan pertama tahun ini.
Beliau berkata berbanding tempoh yang sama tahun lepas, lapan pegawai dan anggota polis ditahan terlibat dalam aktiviti itu.
"Tindakan tegas akan diambil dan kami tidak berkompromi dengan sesiapa yang ditangkap atas kesalahan ini. Pemantauan berterusan melalui Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) daripada penyelia masing-masing adalah amat penting bagi langkah pencegahan yang berkesan dan secara tidak langsung dapat mengelak persepsi negatif masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia," katanya.
Beliau mengingatkan pegawai dan anggota polis serta pegawai awam agar tidak terlibat dengan kegiatan tidak bermoral terutama dalam kes penyalahgunaan dadah, rasuah dan kes-kes lain yang boleh menjejaskan imej PDRM.
Pada majlis itu seramai 17 pegawai dan anggota polis serta orang awam menerima sijil penghargaan Ketua Polis Negeri Sembilan.
- Bernama

