Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas perdana menteri Najib Razak, isteri Rosmah Mansor dan anaknya Nooryana Najwa memfailkan notis usul bagi meneliti butiran harta mereka yang disita pihak berkuasa tahun lepas, antaranya ratusan beg tangan dan pelbagai mata wang asing.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Syahirah Hanafiah yang mewakili Najib, di hadapan Hakim Mohamed Zaini hari ini.

Najib memfailkan notis usul itu pada 18 Julai, manakala Rosmah dan Nooryana pula memfailkannya sehari selepas itu.

Najib melalui afidavidnya menyebut alasan pemfailan itu dibuat kerana ia melibatkan harta alih yang banyak dan penggunaan deskripsi ‘pelbagai jenama’ adalah kabur dan tidak jelas, sekali gus menyukarkan pemohon dalam membuat tuntutan secara efektif terhadap harta barangan yang dirampas.

“Sebahagian daripada kandungan kotak-kotak, beg-beg serta bekas-bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas tersebut telah dikeluarkan daripada bungkusan asalnya.

“Ini sekali gus akan menyebabkan kekeliruan bagi pengecaman harta alih tersebut dan sumber atau puncanya,” menurut afidavid yang difailkan 18 Julai lalu.

Najib dan Rosmah di mahkamah sebelum ini

Rosmah, dan Nooryana yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork melalui afidavidnya pula memohon supaya diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta alih yang disita.

Menurut kedua-dua notis itu antara barangan yang dirampas melibatkan ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing dan jam tangan.

Sitaan itu melibatkan 315 buah beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam tangan pelbagai jenama, 27 pasang kasut termasuk wang tunai antaranya berjumlah RM537,000, pound sterling 2,700, rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama RM187,750, pound Sterling 320,500, rupiah 13,177,00, AS$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines peso 740 dan RM21,150 (wang baru) yang disita pada 17 Mei 2018.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin berkata pihaknya memerlukan masa untuk membuat kajian undang-undang kerana Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 tidak memperuntukkan prosedur khusus untuk memenuhi permohonan pemohon.

Berikutan itu mahkamah menetapkan 14 Oktober untuk mendengar permohonan berkenaan.

Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan untuk membuat tuntutan terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 buah buah kereta yang dirampas daripada Najib, Rosmah, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat yang dinamakan sebagai responden.

Harta-harta berkenaan disita oleh pegawai penyiasat polis antara 17 Mei 2018 hingga 11 Mac 2019 adalah berhubung dengan pelakuan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 melibatkan responden-responden.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Akta 56 dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Notis berkenaan adalah bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Lihat Komen
ADS