Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tambak laut: Anwar kagum KM Pulang Pinang sedia semak semula

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau "secara peribadi kagum" dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow kerana bersedia bertemu beliau bagi menyemak semula projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Anwar berkata sangat jarang bagi ketua menteri secara terbuka bersedia untuk berunding dengan orang lain mengenai projek kerajaan negeri.

Beliau menambah kerajaan negeri perlu mengambil kira pandangan nelayan dan masyarakat umum, seperti mana mereka diberitahu mengenai projek infrastruktur tertentu yang dijalankan kerajaan negeri.

Katanya, beliau juga telah mendapatkan pandangan daripada kedua-dua belah pihak.

"Kita kini telah mendengar kedua-dua belah pihak, dan kita mendengar CM tidak berkeras untuk meneruskan tiga projek pulau itu tetapi bersedia mengkaji semula dengan syarat mereka mendapat pembiayaan persekutuan," kata Anwar pada sidang media di Komtar hari ini.

"Jika ia berlaku, maka skala projek ini akan diturunkan menjadi sebuah pulau," katanya.

Anwar bertemu Chow selama satu jam hari ini bagi membincangkan langkah kerajaan negeri membina tiga pulau buatan.

Kerajaan negeri sebelum ini bercadang menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan itu yang merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut.

Projek PSR bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai projek Pelan Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Kumpulan nelayan dan NGO menentang projek berkenaan.

Pada 11 Julai lalu, kira-kira 200 daripada mereka berarak ke Parlimen untuk mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membatalkan PSR.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS