Khutbah Jumaat di masjid-masjid di Kuala Lumpur hari ini menyeru semua pihak supaya bersyukur dengan nikmat kemudahan komunikasi dalam menjalani kehidupan seharian terutamanya dalam penggunaan media sosial.

Menurut mimbar, semua pihak perlu manfaatkan media sosial sebagai ruang yang berkesan untuk digunakan bagi mengajar, belajar dan menyeru manusia ke jalan yang diredhai Allah SWT dan bukan menyebarkan perkara yang tidak benar.

"Menjadi tanggungjawab kita semua agar membentuk masyarakat yang berkeupayaan mengawal teknologi, bukannya dikawal dan hanyut dengan teknologi.

"Dan dalam memastikan media sosial tidak disalahguna sentiasalah berwaspada dengan sebarang maklumat yang diterima dan tidak menyebarkan perkara yang diragui kesahihannya serta fahamilah konsep Tabayyun dan amalkan budaya ’semak sebelum sebar’," kata teks khutbah bertajuk bertajuk “Dosa Di Hujung Jari” yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu.

Jelas mimbar, fitnah melalui penyebaran berita palsu, penghinaan agama dan isu perkauman dilihat semakin menular yang pastinya jika dibiarkan akan menimbulkan suasana tidak tenteram serta boleh mencetuskan huru hara.

Mimbar mengingatkan realitinya dunia maya kini terdapat pelbagai laman web berunsurkan politik dan fahaman agama yang sempit, hingga mewujudkan golongan berbeza pendapat yang saling bertelagah, menyalahkan antara satu sama lain, melemparkan tuduhan tidak berasas dan saling membuat provokasi.

"Kewujudan laman web pornografi turut merosakkan pemikiran masyarakat terutamanya generasi muda dan menjadi antara punca utama berlakunya pergaulan bebas, zina, sumbang mahram dan jenayah seksual di negara ini.

"Unsur kemungkaran dan budaya negatif telah menular dalam masyarakat kita melalui penyalahgunaan media sosial sehingga menjadi gejala yang membimbangkan jika tidak dibendung,' kata mimbar.

Tambah mimbar, mengambil kira keadaan semasa mengenai penularan berita palsu ini, pihak berkuasa diseru agar melaksanakan prosedur yang lebih berkesan bagi menanganinya serta menggubal undang-undang yang berkesan untuk mengekang penularannya.